Wednesday, June 03, 2009

Menanti Pasti... 15

Waktu Haizat masuk, Awani pura pura tidor. Sepeninggalan Haizat tadi, otaknya berputar ligat menganalisa perjalanan perkahwinannya. Selama mereka berkahwin, tidak sekali pun Haizat menunjukkan yang dia benar benar cintakan Awani. Awani tertanya tanya adakah ruang di hati Haizat untuk dirinya ? Selama 3 tahun dia memendam perasaan. Dia buat segalanya untuk Haizat. Tapi tiada satu pun yang Haizat hargai, segalanya salah di mata Haizat.

Dengan hadirnya Ella, tentu Awani tidak dapat bersaing. Setahu Awani, Ella masih muda. 5 tahun lebih muda dari dirinya. Sedangkan Awani pula lebih tua setahun daripada Haizat. Tentu saja Haizat lebih suka pada yang muda. Dia tiada apa yang dapat dibanggakan. Lagi pun mereka tidak punya anak.

Awani benar-benar ingin percaya yang hanya Ella yang tergila-gilakan Haizat.

Tetapi, sepanjang mereka di KL, kemana Haizat seharian ? Tak mungkin berada di rumah Hamlee. Buat apa dia di sana ?

Apa yang perlu Awani buat untuk membuat Haizat menyayanginya ? Air mata Awani mengalir semula membayangkan tiada yang menyayangi. Seingat Awani, waktu mereka berkenalan, Haizat menyayanginya. Mereka sering bergelak ketawa dan Haizat sering menghubunginya melalui telefon. Mereka juga keluar berdua-duaan biarpun jarang. Bermula dengan teman sepejabat, Haizat dan Awani menjaga batas batas pergaulan mereka.

Sikap Haizat yang malu malu waktu itu membuatkan Awani tidak mengharapkan dia di layan seperti pasangan kekasih yang lain. Sewaktu mereka bertunang, Haizat berpindah ke cawangan yang berhampiran dengan tempat tinggalnya. Kata Haizat, mudah bagai Haizat menjaga ibunya yang tua.

Mereka bertunang dengan janji setahun sahaja, selepas itu berkahwin. Biarpun Haizat ingin menunda perkahwinan, Awani tidak benarkan. Bagi Awani, jika ditunda, tentu tak menjadi.

Haizat beri alasan tidak cukup wang. Awani sanggup kongsi dua.

Akhirnya mereka berdua diijabkabulkan dengan meriah. Menitis air mata Awani bila sekali lafaz, mereka sah sebagai suami isteri. Sejak malam pertama lagi, Awani berharap mereka ada dapat anak secepat mungkin. Mana tahu, sehingga 3 tahun dia berkahwin, dia tetap tidak dikurniakan anak.

Pada permulaan perkahwinan lagi Haizat dingin dengannya. Dia hairan dengan sikap Haizat. Haizat tidak seperti pasangan pengantin yang lain, yang sentiasa tersenyum bahagia. Haizat selalu mencari salah Awani. Awani tetap bersabar. Awani cuba faham, tahun tahun awal perkahwinan adalah tahun untuk mengenali pasangan.

Awani cuba memperbaiki diri. Membeli buku bagaimana menjadi isteri yang terbaik untuk suami. Awani juga membeli buku bagaimana membelai dan mengurut suami. Semua Awani praktikan.

Pernah suatu hari, selepas pulang dari kerja, Awani memicit Haizat sehingga Haizat tertidor. Selepas itu Awani berbaring di sebelah Haizat dan ingin memeluk Haizat. Apa yang dia dapat ? Hanya di marah dan ditepis tangannya. Waktu itu, mereka berkahwin selama 2 bulan. Inai masih merah di jari. Saat saat itu, sepatutnya pasangan suami isteri sentiasa ingin berduaan dan berdekatan.

Awani merajuk dan menangis sendirian di penjuru dapur rumahnya. Haizat terus tertidor sehingga ke pagi tanpa rasa bersalah. Esoknya Haizat berlagak seperti tiada apa yang berlaku. Pergi kerja dan berharap mendapat layanan yang baik daripada Awani tanpa fikirkan rajuk Awani. Akhirnya Awani tidak lagi merajuk. Segala apa yang berlaku, Awani pendam dalam diam. Biar orang sekeliling katakan dia bodoh, dia terlalu manjakan suaminya, terlalu takutkan suami, biarlah... Semuanya Awani pendam... pendam dalam hatinya yang paling dalam.

Sehingga malam ini, Awani terasa sangat sedih. Sedih diri tidak dihargai. Air mata Awani mengalir lagi... dan akhirnya dia tersedu sedu. Segala apa yang dipendamkan diluahkan dalam sedu sedannya.

"Mak... Wani sangat terluka"
"Mak... anak mak sangat sedih"
"Mak... anak mak tak sanggup lagi bertahan..."

Awani memeluk bantal bagaikan memeluk ibunya....
Posted by Picasa

0 Comments:

Post a Comment