Tuesday, December 29, 2009

Awani tiba di rumah lebih kurang pukul 11 malam. Awani ada meminta Haizat mengambilnya di airport Kepala Batas, tetapi Haizat menyuruhnya naik teksi sahaja. Tanpa ingin menyusahkan Haizat, Awani akur. Melihat kereta tiada di tempat letak kereta membuatkan Awani rasa terkilan. Tengah hari tadi Haizat beritahu dia penat, sekarang boleh pula keluar.

Setelah masuk ke rumah, Awani rasa sangat marah. Di dapur penuh dengan cawan dan pinggan tidak berbasuh. Di bilik, penuh dengan baju bersidai merata tempat. Awani mengutip semua baju dan kumpulkan dalam bakul untuk dibasuh. Satu persatu baju dikutip. Terlihat satu baju kemeja kuning, Awani asingkan untuk dibasuh tangan. Kemeja itu Haizat sangat sayang kerana kainnya lembut. Awani meneliti jika ada terdapat kotoran yang sukar dibersihkan.

Tiba tiba mata Awani terlihat satu warna pink, bentuknya seperti bibir. Awani menelan liur. Dadanya berdegup kencang. Warnanya sangat pudar tetapi Awani tahu itu gincu. Warna gincu Awani merah terang, tapi warna merah muda ini tidak pernah Awani guna kerana tidak sesuai dengan warna kulitnya.

Tanda itu terletak di poket baju Haizat. Awani memejamkan matanya. Membayangkan perempuan itu tentunya memeluk Haizat dan Haizat memeluk perempuan itu dengan erat. Dada Awani bagai akan meletup membayangkan aksi suaminya.

Adakah Haizat masih bersama Ella ? Dulu Haizat berjanji untuk tidak lagi berhubungan dengan Ella. Buntu Awani memikirkan. Awani merebahkan badan yang terasa letih. Cuba memejamkan mata, tetapi kerana Haizat tiada di rumah, buat Awani rasa tertekan.

Awani menalifon Haizat. Tidak berjawab.

Awani terus membayangkan Haizat keluar bertemu Ella di mana mana. Mungkin Ella telah pindah ? Bukankah Ella telah habis pengajiannya ? Tentu mereka ada buat pertemuan. Hati Awani membara.

Sambil membasuh cawan dan pingan yang ditinggalkan Haizat, fikiran Awani terus melayang.

Tersenyum sendiri waktu melihat wajah Aris Iskandar dalam portal kakitangan UUM. Orangnya sedikit cerah dengan rambut berketak ketak. Sewaktu berjumpa secara kebetulan, Awani tidak pernah memerhati, tapi sekarang Awani rasa ingin mengenali. En. Aris tidak tinggi, tidak rendah, sedang sedang sahaja. Jika dibandingkan dengan Haizat.... eh... suamiku tentulah yang terbaik. Tapi En. Aris memang kacak. Jika dia tersenyum, boleh rebah pelajar pelajar yang meminatinya.

En. Aris beritahu ada pelajar yang ingin berkenalan dengannya biarpun tahu dia telah beristeri. En. Aris juga beritahu, ada yang sanggup jadi isteri kedua. Tersenyum Awani bila teringat pada kata kata En. Aris yang tidak suka pada pelajar yang katanya tidak matang. Awani percaya kata-kata En. Aris kerana Awani percaya, dengan rupa yang begitu dan jawatan yang stabil, tentu saja ada yang ingin cuba nasib mana tahu berpeluang. Tambah lebar senyuman Awani bila teringat pada panggilan dari telefon public untuk bercakap dengan En. Aris. Berhati hati Awani bercakap kerana bimbang tembelangnya pecah.

Merah muka Awani bila En. Aris cakap suaranya manja dan merdu. Awani tergelak kecil bila teringatkan saat berpisah, En. Aris tidak lupa sebutkan "Bye dear". Sangat romantis pada pendengaran Awani. Rasa seperti di awangan. Rasa seperti berkasihan pula. Pandai betul En. Aris ni, baru dua hari berkenalan, perasaan Awani dah tidak keruan.

Jika anak gadis lain, bagaimana mereka berhadapan dengan lelaki yang telah beristeri ini ?

Awani teringat pada Haizat. Tentu Haizat juga melayan Ella begini menyebabkan Ella sanggup melukakan hati perempuan lain. Memikirkan hal itu, Awani rasa simpati pada isteri En. Aris. Ah... lantaklah. Aku bukan nak kawin dengan En. Aris tu. Kalau En. Aris tu tahu siapa aku, tentu dia pun tidak terpikat.

Hubungan ini tidak boleh diketahui oleh sesiapapun, samada isteri En. Aris, atau Haizat.

Awani terpaksa menalifon kerana rayuan dari En. Aris. Berkali-kali En. Aris ingin dengar suara Awani. Oleh kerana Awani ingin merahsiakan no telefonnya, jadi public phone adalah satu alternatif.

Ah... Esok aku mesti beli kad sim yang baru. Awani merancang. Tersenyum Awani dengan perancangan nakalnya.

"Eh... ni apahal tersenyum sorang sorang ?"
Hampir luruh jantung Awani mendengar suara Haizat. Tidak sedar Awani bila Haizat pulang. Tahu-tahu saja Haizat berada di pintu dapur memerhati Awani yang masih belum selesai membasuh pinggan. Hanya tinggal beberapa piring sahaja.

"Abang.... kenapa balik tak ketuk pintu ? Sib baik tak ada sakit jantung."
Hilang semua marah Awani waktu melihat wajah Haizat. Haizat hanya tersenyum.

"Abang ke mana ? Saya telefon abang tak jawab ?"

"Jumpa kawan jer... telefon tertinggal dalam kereta"

"Oooooo..."
"Abang nak minum ? Saya buatkan"

"Tak usah la... dah minum tadi. "

"Kalau gitu, saya nak mandi"

"Pergilah mandi... dah busuk macam bangkai dah..." Haizat menutup hidung sambil tergelak gelak.

Awani ikut ketawa sambil mencubit lengan Haizat. Otot di lengan yang keras tidak lut dicubit. Haizat sengaja mengeraskan lagi otot lengannya, buat Awani tambah geram. Awani menarik telinga Haizat. Haizat menjerit kecil dan menarik telinga Awani pula. Oleh kerana kegelian, Awani terus lari ke bilik air sambil mengekek.

Tak mahu mematikan saat indah ini buat Awani lupakan lipstik pada baju Haizat.
Posted by Picasa

Monday, December 28, 2009

"Hai... boleh berkenalan ?"

Popup dari skrin memaparkan mesej. Awani sedang melayari internet sambil onlinekan YMnya.

"Boleh"

"ASL"

Melihat mesej tersebut, Awani terus menekan tanda X bermaksud tidak berminat untuk menyambung perbualan. Pantang bagi Awani bila orang ingin berkenalan bertanya umur, lokasi dan jantinanya di awal perkenalan.

Awani meneruskan kerja membetulkan laporan seperti yang pengguna minta. Tidak banyak perubahan, hanya betulkan format sahaja dengan penambahan medan medan tertentu. Ada laporan baru yang diminta, juga senang bagi Awani. Awani leka membuat kerja tanpa disedarinya jam menunjukkan hampir ke angka 12 malam.

Selesai membuat kerja, Awani cuba menutup mata. Bila masa tidor melebihi waktunya, mata sukar benar dipujuk untuk tidor. Lantas Awani membuka semula komputer dan melayari internet. Tiada yang menarik buat Awani cuba masuk ruangan chatting. Melihat tiada yang menarik lagi, Awani keluar semula dari ruangan itu.

Kemudian Awani mencari nama yang menarik dalam profile, mana tahu, ada yang berkenan.

"Aris" dan Awani klik butang Search.

Terpapar beberapa nama, dan ada yang masih online.

Awani tersenyum sendiri bila melihat satu nama "Aris Iskandar". Teringat nama seorang kakitangan di tempat Awani bertugas, punya nama yang sama. Awani juga teringatkan Aris, lelaki pertama yang mengetuk pintu hatinya. Lelaki ini pun berada Kedah. Dengan nickname Izza, Awani berbual dengan lelaki yang nicknamenya ArisIskandar.

"Hi... dah lewat... masih bekerja ?"

"Yer... prepare bahan meeting esok. Awak tak tidor lagi ?"

Wah... nampak macam bagus jer nak sembang ni.

"Oh... saya ? Saya baru siap kerja. Tak dapat tidor. Saya mengganggu ?"

"Tidak... saya pun nak habis dah"

"Awak nak masuk tidor ?"

"Belum mengantuk, jom la kita sembang. Macam mana awak tahu YM saya ? "

"Saya search dalam internet saja"

"Awak kerja atau study ?"

"Saya kerja. Awak kerja di mana ?"

"Sintok"

Eh... dia nih. En Aris Iskandar tu ker ? Ya Rabbi. Awani ingin berhenti dari berbual kerana rasa tidak selesa berbual dengan orang yang dikenalinya.

"Tak apa la... saya rasa nak masuk tidor pula"

"Eh... kenapa macam tu ? Berbual la dengan saya. Saya bosan"

Isk... biar betul En Aris ni. Dia ni serius jer aku lihat kat office. Tetiba dalam YM sangatlah peramah. Hmmm... apa kata aku teruskan dengan buat buat tidak kenal ? Awani mula tersenyum.

"Saya nak panggil apa pada awak ?", sengaja Awani bertanya.

"Panggil Aris"

"Dalam profile, nama awak Aris Iskandar, boleh saya panggil Is ?"

"Tak kesah. Tak pernah orang panggil nama Is pada saya."

"Aris mengingatkan saya pada kenangan lama... hehehe"

"Ooooo... pakwe lama yer ?"

"Yer... Is... awak chat ni, isteri awak tidor ker ?". Lama En Aris ni nak menjawab. Agaknya dia nak kelentong kata belum beristeri lagi ker ? Hati Awani berteka teki.

"Mana awak tahu saya dah berkahwin ?"

"Saya agak saja"

"Isteri saya kerja di KL"

"Eh... tadi awak kata awak kerja kat mana ?", sengaja Awani bertanya.

"Sintok..."

"Sintok ? Kat mana tu ?"

"Ler... tak kan tak tau ? Dekat dengan Bukit Kayu Hitam, dekat dengan Siam... dekat dengan hutan tempat jin berkampung"

"Hahahaha.... ". Awani tersenyum.

"Awak dah kahwin ?"

Wah, directnya soalan. Apa nak jawab ni ? Awani mula berpeluh. Dah nak bohong, baik aku bohong betul betul. Lagipun dalam internet ini, apa pun boleh jadi.

"Tak ada siapa suka saya."

"Eh... jangan cakap macam tu... Awak tak kesah kawan dengan saya ?"

"Kenapa awak tanya macam tu ?"

"Sebab saya suami orang ?"

"Saya bukan nak kawin dengan awak.... hahahaha", sengaja Awani gelak supaya En Aris tidak rasa serba salah.

"Awak mesti muda, awak tak mau panggil saya abang ? Saya dah tua"

"Mana awak tahu saya muda ? Umur saya dah 25 tau". Awani gelak besar kerana menipu.

"Saya umur 29"

"Eh... tak mau la saya panggil abang... geli", Awani masih tergelak gelak. Umurnya lebih kurang dengan aku.

"Yang Izza pula ? Nama penuh ?"

Aiseh, apa aku nak tipu nih ? Apa apa saja la.

"Izzaty Amalia, panggil Izza"

"Ooo... boleh saya panggil nama lain ?"

"Awak nak panggil saya apa ?"

"Sayang ?"

Sampai sini, Awani tergelak. Rasa nak terjatuh dari kerusinya bila melihat perkataan 'sayang'. En. Aris ni tak sangka perangai macam ni. Di pejabat punyalah protokol. Hanya tersenyum sedikit, tidak peramah langsung. Aku pun tak pernah berbual dengannya. Ini bahananya isteri tinggal berasingan. Awani tidak betul betul mengenali Aris Iskandar ini. Hanya kebetulan dia melalui pejabat Aris Iskandar, dan terkejut bila staf di situ memanggil En. Aris kerana nama itu punya makna yang mendalam pada Awani.

Awani banyak berbohong mengenai dirinya. Aris Iskandar tidak boleh mengetahui siapa Izzaty Amalia yang sebenarnya. Awani tertarik untuk mengetahui siapa Aris Iskandar yang sebenarnya. Setahu Awani, Aris Iskandar adalah seorang jurutera. Itu saja maklumat yang Awani tahu. Awani nekad untuk mendapatkan maklumat Aris Iskandar dari sistem maklumat kakitangan. Awani yang memantau sistem itu, jadi tiada masalah untuk mendapatkan maklumat.

Awani terus berbual dengan Aris Iskandar tanpa sedar jam menunjukkan pukul 4 pagi.

"Seronok berbual dengan Izza"

"Yer... tapi esok kita kerja. Jadi lebih baik kita berhenti."

"Ha'ah... dah pukul 4 pagi. Esok saya meeting"

"Awak ada no telefon ?"

"Nak buat apa ?"

"Saya nak dengar suara awak "

"Saya tak biasa beri pada orang yang baru dikenali"

"Beri la... pleaseeee..."

Isk... apa la En. Aris ni. Merayu pulak. Lemah betul Awani mendengar.

"Nanti esok esok saya beri", janji Awani.

"Janji tau..."

"Yer la... ok... bye"

"Bye, good night dear !"

Rasa syahdu mendengar kata kata yang tertulis dalam di skrin komputer Awani. Betul, lelaki telah kahwin tahu kelemahan perempuan. Bertuah betul isteri En. Aris. Tapi kenapa Haizat tidak begitu ? Ahh... lelaki tidak begitu dengan isteri sendiri. Entah entah, En. Aris pun macam Haizat ? Siapa tahu ?

Teringat pada Haizat, Awani rasa sayu semula.

Awani perlu mencari kekuatan. Awani perlu mencari nilai dirinya yang sebenar. Awani tidak mahu rasa tidak diperlukan. Awani ingin dikasihi dan disayangi sepenuh hati. Awani tidak mahu terus bergantung pada Haizat.

Jika Haizat boleh mencari yang lain, kenapa Awani tidak ?

Posted by Picasa

Tuesday, December 22, 2009

"Haizat, hang nak pi tak Perlis malam ni ?"

"Kenapa ? Ada makan makan free ke ?"
Kata-kata Mizi disambut dengan pertanyaan dan juga gelak besar dari Haizat. Kawan kawan lain tidak menyampuk.

"Jum la kita pi Kuala Perlis. Aku dah janji dengan Diana nak makan dengan dia. Hang ajak la awek hang tu... sapa nama dia ? Mas ker ?
Mas ker Perak ker... lantak la... hang ajak la sapa sapa."

"Okey la... nanti aku call dia kalau dia nak ikut"

"Aku gerenti dia ikut punya. Aku tengok budak tu bukan main manja lagi dengan hang. Melentuk saja tengkuk dia. Apa ilmu hang pakai ? Ajaq la skit..."

"Ayat power beb... ayat tu mesti power..."

"Hahahaha... hang memang ahli la dalam mengayat ni yer ?"

"Aku tak la terer... aku pun belajaq dari hang jugak. Cuma aku ni pelajar pintar, itu pasal aku lebih pandai dari cikgu..."

Mereka tergelak besar. Gurauan dari teman teman menghilangkan kebosanan Haizat. Ketiadaan Awani tidak mengubah rutin hidup Haizat. Jika Awani ada pun, jarang sekali Haizat ingin berada di rumah. Bosan mengadap television. Tiada yang menarik perhatian Haizat untuk berada di rumah.

Haizat teringatkan Mastura. Masih belajar, bertudung dan comel sahaja rupanya. Bulat mukanya dan berpipi merah. Sesekali Mastura tersenyum, tulang pipinya akan sama menjadi lebih bulat. Sungguh comel, dan keanakan. Mastura suka memegang lengannya bila berjalan.

"Oiii... aku tahu la bini dok jauh... tak kan dah rindu kot ?"

Hahahaha... tergelak dalam hati Haizat mendengar itu. Dibalasnya dengan senyuman. Sedikitpun nama Awani tidak terlintas dalam fikirannya. Tanpa Awani, Haizat dapat bergerak bebas tanpa rasa bersalah sedikit pun. Jika ada Awani, kekadang rasa kesian juga tinggalkan Awani sendirian di rumah menanti Haizat.

Sesekali Haizat melihat Awani tertidor di ruang tamu. Bila melihat di bawah tudung saji, berbagai lauk disediakan, tidak dijamah sedikit pun. Haizat tidak tahu samada Awani makan atau tidak. Haizat menjamah juga sedikit biarpun perutnya sangat kenyang.

Berada dipejabat pada waktu petang menanti minit minit terakhir punch card sangat membosankan. Jika tidak keluar berjalan jalan, Haizat mula mengisi masa lapang dengan bermain badminton dengan teman teman sepejabat.

Haizat menalifon Mastura, untuk mengajak ke Kuala Perlis. Tepat seperti yang dijangkakan, Mastura tidak menolak.

"Haizat, aku nak balik dulu. Hang tolong cucuk kad aku."

"Okeh, no problem..."

"Jumpa malam karang. Hang telefon aku tau. Senang skit aku nak kelentong bini aku"

"Yer la... yer la... aku faham la..."

Mereka sama sama gelak besar. Seronok memikirkan bersama gadis gadis genit buat Mizi pulang dengan senyuman melebar sambil mengeyit matanya pada Haizat.

Posted by Picasa

Monday, December 21, 2009

"Abang, esok saya nak ke Terengganu. Abang nak ikut ?"

"Abang kerja"

"Saya pergi 3 hari saja. Saya bermalam di penginapan yang mereka sediakan."
"Baju dan seluar saya dah iron siap siap ada tersangkut dalam almari"
"Stokin dalam drawer tu"

Awani memberi pesan pada suami bagai pergi berhari hari. Awani tidak pernah meninggalkan Haizat sendiri menguruskan diri, jadi risau juga jika Haizat mengamuk jika tidak bertemu barang yang dicari.

Haizat mendengar sahaja. Tidak membantah.

"Pukul berapa nak bertolak ?"

"Saya bertolak awal pagi esok, saya ke KL dulu. Transit di KLIA, tengah hari baru ada flight ke Terengganu."

"Ok..."

"Abang nak pesan apa apa ?"

"Jaga diri baik baik"

"Nanti saya belikan keropok lekor."

Haizat hanya tersenyum. Awani membalasnya. Senyuman manis buat suami. Biarpun hati kekadang ingin membenci, tetapi selalu sayang yang datang menerjah. Awani kerap tersungkur bila saja keinginan ingin berpisah hebat, tetapi bila sayang mendatang, hilang segala amarah.

Haizat menyambung semula membaca suratkhabar. Awani mengemas ngemas barang yang akan dibawa. Petang esok ada mesyuarat dengan orang KETENGAH. Awani pergi bertiga dengan ahli kumpulan projek tersebut. 2 lagi adalah pensyarah IT. Satu bahagian logik programming dan satu lagi bahagian database.

Kajian mengenai keusahawan, bengkel untuk usahawan dan bagaimana mencari usahawan berjaya ini telah lama dijalankan oleh UUM. Dalam waktu terdekat ini mereka ingin sistemkan dan masukkan data data yang didapati. Semua data telah dikumpul lama, tunggu masa untuk disistemkan dan diproses untuk mendapatkan senarai usahawan yang berjaya atau setidaknya untuk mengasingkan mereka mengikut indek indek yang ditetapkan.

Untuk projek ini, kerja Awani memang mudah. Semua bahan telah ada, borang, contoh laporan dan semua yang berkaitan telah mereka sediakan. Selama ini, semua kerja mereka menggunakan manual, memang rumit untuk mencari senarai usahawan. Borang usahawan yang diisi oleh mereka juga terlalu banyak. Rasanya mungkin 10 ribu. Entah la... setakat itu yang Awani tau berdasarkan berkotak kotak borang yang diletakkan di salah satu sudut pejabat mereka.

Awani masukkan 3 pasang baju kurung dalam beg pakaiannya. Cukuplah untuk 3 hari di sana. Hari pertama dia akan demo sistem pilot kepada mereka, hari kedua baru mereka akan memberi input input untuk menambah baik lagi sistem yang ada. Segala komen komen mereka akan diberi perhatian untuk memuaskan kehendak pengguna.

Selesai bersiap, Awani ke dapur. Membuatkan air milo kosong kesukaan suaminya. Esok Awani akan ke Terengganu, jadi, hari ini harapan Awani, layanan yang terbaik akan diberikan buat suami agar suaminya tidak lupa dan sentiasa berharap agar Awani sentiasa di sisi.

Awani mengisi goreng pisang yang dibuatnya petang tadi dalam piring. Awani membuat satu lagi air milo dengan gula untuk dirinya sendiri.

"Abang, minum..."

Haizat berhenti membaca dan melihat Awani berada di depannya. Di depannya juga dulang berisi minuman dan goreng pisang. Awani memasang TV. Tiada cerita yang menarik, Awani mencari siaran radio dalam Astro. Ditekan sana sini, terpasang lagu yang diminatinya, Cinta Pantai Merdeka. Awani tersenyum sendiri.

"Senyum sendiri nampak ?"

"Eh... tak ada la... lagu ni best "

"Yer ke ? Biasa saja"

"Saya suka lagu ini..."

Sampai pada korusnya Awani sama sama berlagu...

Kuukir namamu
Di awang Gunung Jerai
Disaksikan laut daun nyiur melambai
Jauh pandangan permai
Disitu tanjung dawai terkenang peristiwa
Cinta kita terurai
Oh..indahnya.. peristiwa..
Cinta kita di pantai merdeka..

Wooo.. Masih ingatkah
Oh kekasih.. Biar pun kini
Kau di mana
Namun dengarlah.. lagu ini
Cinta kita di pantai merdeka..


Haizat hanya tersenyum dan menggelengkan kepala tatkala mendengar Awani bernyanyi. Haizat kembali meneruskan bacaannya sambil makan goreng pisang.

Awani terbayang banyak pada Aris, lelaki yang pertama singgah dalam hatinya. Mereka pernah ke Pantai Merdeka ini. Tiada yang menarik di situ waktu itu. Pantainya pula tidak bersih. Mungkin sekarang telah berubah wajah, entah la... Awani tidak pernah lagi menjejak kaki ke sana.

Tapi, pada waktu itu, keindahan pantai bukan pada rupa pantai itu sendiri, tapi keindahan adalah pada rasa hatinya. Awani sangat bahagia waktu itu, berjalan bersama dengan kekasih hati. Apa yang dilihat waktu itu indah sekali. Bersama melihat pokok nyiur melambai di tepi pantai juga menarik. Ah... semuanya menarik. Kemudian Awani berhenti tersenyum bila teringat pada panggilan terakhir yang dibuatnya untuk Aris. Bukan Aris menjawab, tetapi suara perempuan yang kemudiannya perkenalkan diri sebagai isteri Aris. Hancur luluh hati Awani bila mendengar kata kata manis dari suara dihujung talian sana.

Selepas itu lagi Pasrah oleh Erra Fazira pula dimainkan.

Ingin ku sendiri
Meniti hari
Kala sunyi
Yang melanda sepi
Alam bisu
Bagaikan mengerti
Berakhirnya sebuah memori

Ingin ku melangkah
Membawa diri
Kerna cinta
Yang dikhianati
Luka rasa untuk menghadapi
Pengorbanan tidak dihargai


Awani mengikutinya perlahan. Tiba tiba sahaja Awani sebak dan menitiskan air mata. Bagaikan lagu tersebut mengenai dirinya. Terbang semua ingatan pada Aris. Awani berpijak dibumi nyata kini. Perasaan sedih pada Haizat mula mengambil alih. Rasa sedih bila mendapat tahu hubungan Haizat dengan Ella. Rasa sedih bila mendapat panggilan dari Ella. Rasa sedih bila cintanya dikhianati. Rasa sedih bila suami tidak pernah menghargai dirinya.

Awani yang berada di belakang Haizat memalingkan wajah bila saja Haizat memalingkan kepalanya untuk melihat Awani.

"Larrrrrr... menangis pulak ?"

"Hehehehe... " Awani tersenyum menyembunyikan perasaan sedihnya sebentar tadi. Awani mencari siaran TV lain. Tak boleh layan lagu lagu sedih mendayu ni. Biarpun begitu... air mata Awani tetap laju menitis. Awani mengelapnya beberapa kali, tetapi air matanya tidak mahu berhenti.

Awani ke bilik air. Di situ dia menangis sepuas hatinya. Meluahkan kesedihan dan sebak yang menyeksa di dada. Biarpun begitu, Awani pastikan Haizat tidak tahu dia menangis di situ.

Awani membasuh mukanya berkali kali. Membuang segala sisa sisa air mata. Sedikit merah matanya. Ah... biarkan...

Air milo telah habis. Pisang pun hanya tinggal seketul. Awani mengangkat untuk mencucinya di dapur. Selepas mencuci pinggan, Awani mengambil minyak gosok.

"Abang nak saya picit ?"

"Bagus juga"

Haizat membaringkan badannya. Awani mulakan dikaki. Perlahan lahan minyak digosokkan dikaki Haizat. Awani mulakan picitannya. Haizat memejamkan mata menghayati picitan Awani. Tangan lembut Awani menjalar perlahan lahan dari kaki, betis, peha... Awani berhenti disitu. Kemudian Awani memicit pula badan, tangan, dan belakang Haizat. Perlahan tapi mengasikkan.

Keasyikan terhenti bila Haizat memegang tangan Awani... dan matanya melihat ke mata Awani. Haizat tersenyum. Awani memahami maksud senyuman itu...
Posted by Picasa

Thursday, December 17, 2009

"Hoi... pekak ker ? "

Tersentak Awani di depan komputer. Sengaja dia buat kerja di rumah. Awani kini malas melayan kerenah Haizat. Awani tidak mahu memendam rasa lagi.

"Aku suruh buat air tadi, tak dengar ker ?"

"Maafkan saya. Saya tak perasan."

"Asyik sangat main komputer, sampai tak ingat dunia. Kau bertenet dengan siapa sampai tak dengar aku panggil ?"

Awani hanya memandang sepi. Biarlah apa saja yang Haizat ingin kata. Sebenarnya Awani hanya buat kerja di rumah. Awani menerima tawaran untuk masuk kumpulan projek penyelidikan. Projek perundingan dengan jabatan di Terengganu yang lebih dikenali KETENGAH. Projek penyelidikan untuk mencari usahawan berjaya.

Kajian telah dibuat oleh salah seorang pensyarah. Kerja Awani hanya kodkan sahaja menggunakan VB. Design sistem dan juga database diserahkan kepada dua orang pensyarah.

"Eh... lama betul buat air... kalau orang nazak, mati dulu baru dapat air"

"Maafkan saya... ini airnya. Ada apa apa lagi abang nak saya buat ?"

"Mana rotinya ?"

Awani keliru. Antara roti dan biskut, yang mana satu Haizat nak. Ah... ambil saja dua dua. Ada beberapa perkataan di bahagian Utara ini masih mengelirukan. Begitu juga kelmarin dan semalam. Keliru sungguh Awani.

"Isk... yang kau ambil banyak sangat ni kenapa ?"

"Abang makanlah... lepas makan nanti, saya kemas."

Pendek sahaja kata kata Awani. Tiada lagi wajah sedih di situ. Haizat menjadi keliru dengan sikap Awani. Dulu, jika dimarah atau ditengking, wajah Awani terus berubah. Selalu Haizat melihat wajah Awani yang seakan sebek sahaja. Sekarang wajah itu semakin yakin.
Awani menyambung kerjanya semula. Haizat terus menonton sambil minum. Dulu, Awani selalu juga bersamanya, memicit kakinya atau kepalanya bila Haizat menonton, tapi sekarang, Awani hanya biarkan Haizat sendiri. Mereka bagaikan orang asing di rumah sendiri.

Selepas kehilangan kandungan Awani, Haizat benar benar tertekan. Haizat mula membuang masa dengan melepak bersama kawan kawan sepejabatnya. Sesekali mereka keluar makan ke Perlis. Haizat telah mula keluar dengan pelajar pelajar yang tidak memilih untuk menjalinkan hubungan. Pelajar yang sekali diajak, terus keluar. Mereka yang mungkin jemu berkurung di kolej.

Perempuan di IPTA, memang mudah sekali, itu kata teman teman pejabatnya. Kata kata itu terbukti bila saja sekali Haizat mempelawa, terus Mastura setuju, dengan syarat, bawa temannya sekali. Ahhh... perkara mudah tu. Haizat juga membawa Yunus sekali. Temannya itu memang suka makan free.

"Haizat... kau ni jantan ker apa ? Tabur benih tak tumbuh tumbuh ?"

"Oooooo... suka suka hati jer kutuk orang..."

Haizat gelak ....

"Cari la ladang baru... kalau ladang sekarang tak subur..."

"Ni dok tengah cari la..."

Haizat membalas kata kata Mizi. Temannya itu sudah punya anak seorang. Perempuan.

"Yang kau ni, nak cari ladang baru buat apa ? Kan ladang kau dah berbuah ?"

"Wey... aku saja saja nak menyemai kat ladang baru.... mana tau, ladang baru lebih subur ?"

Hahahaha... mereka sama sama gelak. Perumpamaan yang diucapkan itu selalu mereka gunakan. Bila saja nampak perempuan yang cantik saja, mereka sebut 'ladang baru'.

Bila bersama teman-temannya ini, hilang segala sedih Haizat. Wajah Ella pun hanya sesekali hinggap. Telah beberapa lama Haizat tidak menghubungi Ella. Sejak kali terakhir mereka bertemu, hari terakhir Ella di KL, Ella habis praktikum. Selepas itu Haizat tidak berpeluang untuk bertemu. Ella telah kembali semula ke rumah orang tuanya di Selama, Perak. Bukan mudah untuk mengajak Ella bertemu. Untuk menalifon saja, Haizat terpaksa berhati-hati.

Sejak Haizat berkawan dengan mereka yang kaki perempuan ini, Haizat telah belajar satu perkara. Tidak susah mencari cinta. Ucap saja, tak perlu takut, jika mereka tidak terima, tidak luak sedikit pun. Perempuan, macam kerak nasik. Direndam air, terus lembut. Tambah lagi dengan wajah kacak dan punya kereta. Perempuan mana tak sudi ? Sekali belanja beli bedak pun, mereka terus perasan yang Haizat menyayangi mereka sepenuh hati.

Haizat tersenyum sendiri mengingati gelagat perempuan-perempuan yang pernah dibawanya keluar. Kebanyakkannya pelajar yang masih mentah. Ada yang merayu rayu untuk keluar. Ada yang mengendeng ngendeng untuk memegang tangannya tanpa malu. Haizat tidak melepaskan peluang. Cuma satu saja yang Haizat tak mahu, jika ada yang sampai mengajaknya menyewa hotel. Haizat belum sampai ke tahap itu untuk berbuat dosa.

Memang ada temannya yang begitu. Waktu mereka kerja luar dan menyewa di hotel, Haizat sendiri melihat temannya bawa perempuan. Tapi, biarlah, Haizat tak mahu masuk campur. Haizat bukan seperti perempuan yang akan menjaja cerita seperti itu kepada isteri mereka. Biarlah dosa, mereka yang tanggung sendiri. Haizat tak ada upaya nak menghalang. Dia hanya mengingatkan mereka, agar tidak menjangkitkan anak dan isteri dengan penyakit yang berbahaya saja.

"Awani, kau tak mau tidor ker ?"

Haizat menjengok ke bilik yang menempatkan komputer. Haizat melihat Awani tekun memerhati pada huruf huruf yang tertera. Sedikit pun Haizat tidak mengerti. Melihat Awani dari belakang dengan baju tidor nipis, buat dada Haizat bergetar.

"Abang tidorlah... saya nak siapkan kerja sikit lagi."

"Isk... masuk la tidor..."

Awani mengeluh. Tapi, Awani menutup juga komputer. Mengengkar arahan suami, maknanya akan dilaknat malaikat sehingga bangun tidor nanti......
Posted by Picasa

Sunday, December 13, 2009

Telah beberapa bulan masa berlalu, Awani telah sembuh sepenuhnya dari luka kesan pembedahan. Parut diperutnya telah sembuh... cuma jika disentuh, rasa kebas belum hilang. Tiada rasa disitu. Seperti parut yang tidak hilang itu, begitu juga dengan perasaan Awani. Awani masih bersedih atas kehilangan.

Nak dikatakan hilang, mereka tidak pernah memiliki. Nak dikatakan tidak hilang, perasaan sayang itu telah wujud. Sukar untuk Awani menjelaskan. Kepada mereka yang telah punya anak dan pernah keguguran, bagi mereka, kehilangan itu tiada makna. Yer... apalah yang ada pada seketul daging yang belum berupa ?

Tapi bagi Awani, keketul daging, ataupun denyutan yang pernah dilihatnya dalam skrin waktu discan tempoh hari adalah kebahagiaan. Sekarang, kebahagiaan itu diregut. Kenapa Tuhan mengujinya begitu ?

KENAPA ????

Berkali Awani bertanya pada dirinya dan pada Tuhan ditikar sembahyang. Tiada jawapan. Akhirnya Awani cuba menerima Takdir. Jika itu yang ditakdirkan, Alhamdullilah, dia telah sempat merasa perasaan bila tahu dirinya mengandung. Perasaan yang bahagia sangat. Dia pernah rasa bagaimana perasaan menyayangi sesuatu yang belum dapat disentuh. Biarpun tidak mampu merasa bagaimana getar waktu kandungan bergerak dan belum rasa bagaimana sukarnya bersalin, sekurangnya Awani tahu, dia mampu mengandung.

Sekarang, sebelah Fallopian tubes telah dibuang. Kata doktor, pendarahan yang teruk memaksa mereka membuang terus salur itu. Banyak darah yang keluar, dan Awani terpaksa dimasukkan darah dari penderma lain.

Awani harap, tiada darah yang tercemar. Takut benar Awani bila membaca berita tentang kecuaian hospital yang memasukkan darah tercemar pada penerima darah.

Bila menyentuh parut di perutnya, hati Awani tetap merintih. Rasa ingin menjerit.

Dengan 2 belah tiub pun Awani sukar mengandung, logiknya tentu satu tiub lebih sukar lagi. Itu yang tertulis dalam artikal artikal dalam surat khabar dan dalam internet yang dibaca.

Tekanan demi tekanan yang Awani terima.

"Kesian kat awak... tentu awak salah makan kot ?"

"Awak buat kerja berat ke ?"

Sukar betul Awani nak menjelaskan pada mereka yang tidak mengerti.

Awani lebih suka mengurung diri. Cuba kurangkan pergaulan. Cuba kurangkan perbincangan semasa.

Biarlah orang kata Awani sombong. Biarlah orang kata Awani bagai suka menyendiri.

Awani lebih suka mengadap komputer. Awani lebih suka bercakap dengan kod kod program dan bercakap dengan kenalan dalam internet.

Mereka tidak kenal siapa Awani. Dalam internet, Awani orang yang ceria. Dalam internet, Awani orang yang berbeza yang tidak siapa tahu apa yang Awani tanggung.

Suami Awani ? Haizat kembali kepada sikap asal. Itu yang lebih menyedihkan Awani.

Awani terpaksa bergantung pada diri sendiri untuk kuat. Awani tiada dahan untuk berpaut untuk mendapatkan sokongan.

Sekarang, Awani sendiri tidak pasti apa yang paling menyedihkan dirinya, adakah sikap suaminya atau kesepian yang belum terisi ?

Jika boleh diberi pilihan, Awani ingin saja lari dari semua ini. Ingin lari dari Haizat. Ingin lari dari semua yang mengenali. Ingin pergi ke suatu tempat di mana dia tidak perlu bercerita tentang dirinya, tentang kenapa dia tidak punya anak, tentang ke mana suaminya pergi pada setiap hujung minggu.

Tempat itu hanya wujud dalam INTERNET....

Lalu, Awani mencipta satu watak.

Gadis Melayu, usia... pertengahan 20an, masih bujang... ceria...

Awani berkawan dengan ramai orang. Awani cuba mencari kebahagiaan di situ.

Kehadiran atau tidak Haizat disisi, Awani cuba untuk tidak mengendahkan. Biarlah. Jika Haizat bahagia dengan caranya, Awani cuba untuk mencari bahagia sendiri.

Segala cerca dan maki hamun Haizat, kini Awani pekakkan telinga. Hatinya telah beku. Jika Haizat balik ke sisi, Awani melayan sebaik mungkin. Jika Haizat sengaja mencari kesalahannya, Awani telah mula melawan. Awani telah mula redha, jika yang berlaku adalah yang terburuk.

Awani cuba mencari aktiviti lain daripada memikirkan mengenai suami sendiri. Awani mula mencuba untuk mendapatkan lagi anak angkat. Kepada anak itu akan dicurahkan segala kasih sayang. Kasih yang melimpah ruah dalam dirinya, tiada tempat lagi untuk disalurkan. Biarlah anak kecil yang tidak punya dosa Awani luahkan kasih sayang. Biarlah jika Haizat ingin meninggalkannya. Biarlah jika dunia tidak menyebelahinya. Awani ingin punya anak kecil untuk disayangi.

Awani ingin membelai anak yang comel. Anak yang polos tidak berdosa.

;;