Monday, December 28, 2009

Menanti Pasti... 42

"Hai... boleh berkenalan ?"

Popup dari skrin memaparkan mesej. Awani sedang melayari internet sambil onlinekan YMnya.

"Boleh"

"ASL"

Melihat mesej tersebut, Awani terus menekan tanda X bermaksud tidak berminat untuk menyambung perbualan. Pantang bagi Awani bila orang ingin berkenalan bertanya umur, lokasi dan jantinanya di awal perkenalan.

Awani meneruskan kerja membetulkan laporan seperti yang pengguna minta. Tidak banyak perubahan, hanya betulkan format sahaja dengan penambahan medan medan tertentu. Ada laporan baru yang diminta, juga senang bagi Awani. Awani leka membuat kerja tanpa disedarinya jam menunjukkan hampir ke angka 12 malam.

Selesai membuat kerja, Awani cuba menutup mata. Bila masa tidor melebihi waktunya, mata sukar benar dipujuk untuk tidor. Lantas Awani membuka semula komputer dan melayari internet. Tiada yang menarik buat Awani cuba masuk ruangan chatting. Melihat tiada yang menarik lagi, Awani keluar semula dari ruangan itu.

Kemudian Awani mencari nama yang menarik dalam profile, mana tahu, ada yang berkenan.

"Aris" dan Awani klik butang Search.

Terpapar beberapa nama, dan ada yang masih online.

Awani tersenyum sendiri bila melihat satu nama "Aris Iskandar". Teringat nama seorang kakitangan di tempat Awani bertugas, punya nama yang sama. Awani juga teringatkan Aris, lelaki pertama yang mengetuk pintu hatinya. Lelaki ini pun berada Kedah. Dengan nickname Izza, Awani berbual dengan lelaki yang nicknamenya ArisIskandar.

"Hi... dah lewat... masih bekerja ?"

"Yer... prepare bahan meeting esok. Awak tak tidor lagi ?"

Wah... nampak macam bagus jer nak sembang ni.

"Oh... saya ? Saya baru siap kerja. Tak dapat tidor. Saya mengganggu ?"

"Tidak... saya pun nak habis dah"

"Awak nak masuk tidor ?"

"Belum mengantuk, jom la kita sembang. Macam mana awak tahu YM saya ? "

"Saya search dalam internet saja"

"Awak kerja atau study ?"

"Saya kerja. Awak kerja di mana ?"

"Sintok"

Eh... dia nih. En Aris Iskandar tu ker ? Ya Rabbi. Awani ingin berhenti dari berbual kerana rasa tidak selesa berbual dengan orang yang dikenalinya.

"Tak apa la... saya rasa nak masuk tidor pula"

"Eh... kenapa macam tu ? Berbual la dengan saya. Saya bosan"

Isk... biar betul En Aris ni. Dia ni serius jer aku lihat kat office. Tetiba dalam YM sangatlah peramah. Hmmm... apa kata aku teruskan dengan buat buat tidak kenal ? Awani mula tersenyum.

"Saya nak panggil apa pada awak ?", sengaja Awani bertanya.

"Panggil Aris"

"Dalam profile, nama awak Aris Iskandar, boleh saya panggil Is ?"

"Tak kesah. Tak pernah orang panggil nama Is pada saya."

"Aris mengingatkan saya pada kenangan lama... hehehe"

"Ooooo... pakwe lama yer ?"

"Yer... Is... awak chat ni, isteri awak tidor ker ?". Lama En Aris ni nak menjawab. Agaknya dia nak kelentong kata belum beristeri lagi ker ? Hati Awani berteka teki.

"Mana awak tahu saya dah berkahwin ?"

"Saya agak saja"

"Isteri saya kerja di KL"

"Eh... tadi awak kata awak kerja kat mana ?", sengaja Awani bertanya.

"Sintok..."

"Sintok ? Kat mana tu ?"

"Ler... tak kan tak tau ? Dekat dengan Bukit Kayu Hitam, dekat dengan Siam... dekat dengan hutan tempat jin berkampung"

"Hahahaha.... ". Awani tersenyum.

"Awak dah kahwin ?"

Wah, directnya soalan. Apa nak jawab ni ? Awani mula berpeluh. Dah nak bohong, baik aku bohong betul betul. Lagipun dalam internet ini, apa pun boleh jadi.

"Tak ada siapa suka saya."

"Eh... jangan cakap macam tu... Awak tak kesah kawan dengan saya ?"

"Kenapa awak tanya macam tu ?"

"Sebab saya suami orang ?"

"Saya bukan nak kawin dengan awak.... hahahaha", sengaja Awani gelak supaya En Aris tidak rasa serba salah.

"Awak mesti muda, awak tak mau panggil saya abang ? Saya dah tua"

"Mana awak tahu saya muda ? Umur saya dah 25 tau". Awani gelak besar kerana menipu.

"Saya umur 29"

"Eh... tak mau la saya panggil abang... geli", Awani masih tergelak gelak. Umurnya lebih kurang dengan aku.

"Yang Izza pula ? Nama penuh ?"

Aiseh, apa aku nak tipu nih ? Apa apa saja la.

"Izzaty Amalia, panggil Izza"

"Ooo... boleh saya panggil nama lain ?"

"Awak nak panggil saya apa ?"

"Sayang ?"

Sampai sini, Awani tergelak. Rasa nak terjatuh dari kerusinya bila melihat perkataan 'sayang'. En. Aris ni tak sangka perangai macam ni. Di pejabat punyalah protokol. Hanya tersenyum sedikit, tidak peramah langsung. Aku pun tak pernah berbual dengannya. Ini bahananya isteri tinggal berasingan. Awani tidak betul betul mengenali Aris Iskandar ini. Hanya kebetulan dia melalui pejabat Aris Iskandar, dan terkejut bila staf di situ memanggil En. Aris kerana nama itu punya makna yang mendalam pada Awani.

Awani banyak berbohong mengenai dirinya. Aris Iskandar tidak boleh mengetahui siapa Izzaty Amalia yang sebenarnya. Awani tertarik untuk mengetahui siapa Aris Iskandar yang sebenarnya. Setahu Awani, Aris Iskandar adalah seorang jurutera. Itu saja maklumat yang Awani tahu. Awani nekad untuk mendapatkan maklumat Aris Iskandar dari sistem maklumat kakitangan. Awani yang memantau sistem itu, jadi tiada masalah untuk mendapatkan maklumat.

Awani terus berbual dengan Aris Iskandar tanpa sedar jam menunjukkan pukul 4 pagi.

"Seronok berbual dengan Izza"

"Yer... tapi esok kita kerja. Jadi lebih baik kita berhenti."

"Ha'ah... dah pukul 4 pagi. Esok saya meeting"

"Awak ada no telefon ?"

"Nak buat apa ?"

"Saya nak dengar suara awak "

"Saya tak biasa beri pada orang yang baru dikenali"

"Beri la... pleaseeee..."

Isk... apa la En. Aris ni. Merayu pulak. Lemah betul Awani mendengar.

"Nanti esok esok saya beri", janji Awani.

"Janji tau..."

"Yer la... ok... bye"

"Bye, good night dear !"

Rasa syahdu mendengar kata kata yang tertulis dalam di skrin komputer Awani. Betul, lelaki telah kahwin tahu kelemahan perempuan. Bertuah betul isteri En. Aris. Tapi kenapa Haizat tidak begitu ? Ahh... lelaki tidak begitu dengan isteri sendiri. Entah entah, En. Aris pun macam Haizat ? Siapa tahu ?

Teringat pada Haizat, Awani rasa sayu semula.

Awani perlu mencari kekuatan. Awani perlu mencari nilai dirinya yang sebenar. Awani tidak mahu rasa tidak diperlukan. Awani ingin dikasihi dan disayangi sepenuh hati. Awani tidak mahu terus bergantung pada Haizat.

Jika Haizat boleh mencari yang lain, kenapa Awani tidak ?

Posted by Picasa

2 Comments:

  1. Irfa said...
    oh bahayanya.
    baru je adik citer,senior kat tpt keje dia nak bercerai dgn bininya (suri rumah dan ada 5 anak) sbb seniornya itu dah tercintun ngan awek umur 21tahun dalam laman Tagged
    izawani said...
    Hahaha... memang bahaya... sapa yang tak pernah try, jangan la try...

Post a Comment