Sunday, June 14, 2009

"Hello abang..."

"Yer sayang..."

"Abang sampai rumah pukul berapa?"

"Malam karang. Awani masak apa ?"

"Hari ni buat stim ikan, goreng kicap daging dan sayur kangkung sahaja. Abangkan suka ikan masak stim kan ?"

"Wah sedapnya... terbau sampai sini. "

"Ada ada saja abang ni. Saya tunggu makan bersama."

"Tunggu la... abang balik lewat"

"Lapar la saya nanti, balik la cepat skit..."

"Dah cepat la nih... cuba tengok belakang"

"Eeeeeeeee... abang nih... "

Awani menjerit saat melihat wajah Haizat. Haizat memeluk Awani dari belakang. Bila saja Haizat ingin mencium Awani, Awani mengelakkan wajahnya.

"Abang busukkkkkkkk... pi mandi dulu. Lepas tu kita makan"

"Ok ok... tapi cium abang dulu"

Awani mendekat... Haizat memejamkan mata.... dan Awani menggigit pipi Haizat....

"Hahahaha.... "

Awani berlari ke dapur waktu Haizat mengaduh kesakitan. Awani menghidangkan makan malam mereka sewaktu Haizat mandi. Awani sangat gembira. Wajah Awani berseri seri. Harapan Awani, semua ini akan berkekalan. Harapan Awani, tiada lagi orang ke tiga dalam hidup mereka.

Hanya satu lagi yang Awani nanti. Kehadiran cahaya mata. Setiap hari, itu yang dipohon dari Allah selain dari kebahagiaan dalam hidupnya dunia dan akhirat.

Melihat anak anak orang lain, Awani rasa tersentuh. Melihat orang lain mengandung seorang demi seorang, Awani rasa terseksa. Serasa semua yang dipandang kiri kanan depan belakang, pasti orang mengandung sahaja di matanya.

Bila pula giliran Awani ?
Posted by Picasa

Seperti biasa Awani pulang awal dari pejabat. Awani tidak pasti samada Haizat akan berada di rumah atau tidak malam nanti. Hatinya berdoa agar masih ada ruang dalam hati Haizat untuk dirinya. Awani impikan hidup bahagia bersama Haizat. Awani bayangkan anak-anak yang bakal memenuhi rumah mereka. Awani angankan sebuah rumah yang besar dan lengkap untuk mereka meniti hari-hari tua.

Walaupun begitu, jika impian tidak menjadi kenyataan, Awani telah nekad untuk menerima apa sahaja dugaan mendatang. Selagi dia dapat melihat wajah Haizat, baginya, segala dugaan adalah kecil. Awani cuba untuk membuat Haizat bahagia. Kerana dari dulu lagi Awani terpikat dengan senyuman Haizat. Bila Haizat gembira, Haizat tersenyum. Senyuman Haizat dapat membunuh segala rasa sedih dan marah Awani. Asal saja Haizat gembira, Awani sanggup terima apa sahaja.

Deruman injin kereta proton Haizat waktu Awani baru selesai solat Asar membuatkan Awani rasa sangat gembira. Gembira kerana Haizat akan ada di rumah malam itu. Gembira dengan harapan Haizat dapat memberi kata putus padanya.

Dan selepas solat Isya' malam itu, Awani dan Haizat menonton TV. Tiada yang menarik kerana masing masing hanya lebih banyak memandang kosong ke depan. Awani ingin agar Haizat memulakan bicara. Tetapi, melihat keadaan Haizat, Awani yakin, Haizat tidak akan memulakan.

"Abang..."

Haizat memandang Awani. Haizat tahu, Awani inginkan keputusan.

"Abang... jika dia baik untuk abang... kahwinlah dengannya."
"Jika abang tidak bahagia dengan saya, lepaskan saya"
"Jika abang memilih saya, saya akan cuba bahagiakan abang dan kita akan cuba susah senang bersama"
"Jika abang memilih dia, saya doakan abang bahagia"

Awani menyusun ayat perlahan. Semua kata-kata yang diucap telah diolah berhari hari.

"Awani..."
"Lihat abang..."

Pertama kali Haizat bahasakan dirinya abang setelah sekian lama perkataan itu hilang. Rasanya ingin menitik air mata Awani saat Haizat meminta Awani melihat wajahnya.

"Katakan Awani tidak sayangkan abang"

"Saya sayang... ", rasa sebak membuat kata-kata terhenti dan sambungan bergema dalam diri Awani sahaja.

"Awani, abang ingin bahagia dengan Awani. Tetapi, beri masa pada abang."

"Abang, tidak cukupkah masa selama ini ?", saat air mata yang bergenang telah pun turun perlahan-lahan di pipi Awani, Haizat tidak mampu lagi memandang wajah Awani.

"Abang sayangkan Awani. Jangan desak abang"

"Saya tidak mendesak abang. Saya cuma inginkan kepastian dalam hidup saya. Jika abang rasa bahagia dengan dia, abang pergilah. Lepaskan saya"

"Tidak... abang tidak kata abang bahagia dengan dia. Abang sayangkan Awani. Dia yang nak sangat dengan abang"

Awani ingin sangat percaya kata-kata itu. Sumpah, Awani ingin percaya. Dan Awani cuba hidup dengan percaya kata-kata Haizat. Awani cuba berbahagia dengan menganggap kata-kata Haizat adalah kebenaran.

Jika itu kata-kata Haizat, Awani akan cuba membuat Haizat merealisasikan kata-katanya.
Posted by Picasa

Haizat sampai ke rumah pagi itu dengan keadaan penat. Awani yang menanti dengan sabar, tetap sabar melihat Haizat menukar pakaian.

"Abang... abang ke mana ?"

"Tak ke mana-mana"

"Abis tu, kenapa abang tidak balik malam ?"

Haizat mendiamkan diri.

Bila Haizat mendiamkan diri, Awani rasa terseksa sangat. Baiklah Haizat marah Awani. Biarlah Haizat meluahkan apa yang Haizat rasa. Awani lebih suka begitu daripada sepi tanpa kata.

Sepi begitu amat menyeksakan.

Haizat bersiap dan pergi kerja tanpa memberi kata putus. Rasanya dia akan beri kata putusnya petang nanti. Dia akan memberi kata putus pada Awani seperti yang Awani pinta.

Apalah gunanya berumah tangga jika tidak bahagia ? Apalah gunanya bersama jika tidak cuba menerima ?

Haizat nekad. Harapannya, keputusan yang dibuat akan membahagiakan dirinya dan juga Awani.
Posted by Picasa

Friday, June 12, 2009

Setelah segalanya Awani serahkan pada Haizat, Haizat tiba tiba menjadi buntu. Fikirannya bercelaru untuk membuat keputusan. Siapa yang terbaik ?

Selama ini, dia tidak pernah terfikir untuk membuat keputusan. Memilih Awani, bermakna dia perlu tinggalkan Ella. Memilih Ella bermakna dia terpaksa meninggalkan Awani. Awani sanggup menerima Ella, tetapi syarat keluarga Ella membuatkan Haizat terpaksa memilih satu antara dua.

Bila dia terpaksa memilih, baru dia terpaksa memikirkan semasak-masaknya.

Adakah dia pasti yang Ella sebaik Awani ? Dapatkan Ella setia dan menyayangi dia sepertimana Awani ? Tidak kejamkah dia meninggalkan Awani semata-mata kerana dia ada yang lain ? Awani tiada yang kurang, kecuali mereka tidak dikurniakan cahayamata. Itu pun, dia tidak menyalahkan Awani sangat. Pastikah Haizat, jika dia berkahwin dengan Ella, mereka akan dikurniakan cahayamata?

Haizat bingung. Untuk membuat keputusan sebesar itu dalam hidup dia, buat Haizat sering termenung. Biarpun dia menyayangi Ella, tetapi sayang pada Awani mula berputik.

Haizat perlukan ketenangan.

Di rumah, Awani gelisah. Sejak Awani meminta Haizat membuat keputusan, Awani cuba untuk redha. Dia sanggup terima apa sahaja yang Haizat katakan. Tapi berdiam diri dan melarikan diri begini, Awani tidak sanggup terima.

Biarpun Awani ingin biarkan Haizat membuat keputusan, dalam fikiran Awani tetap berfikir positif. Jika Haizat memilih Ella, dia akan berundur dengan cara terhormat. Jika Haizat memilih Awani, Awani ingin agar Haizat berubah sikap. Awani tidak ingin lagi memendam rasa. Jika Haizat ingin memiliki keduanya, Awani ingin Haizat adil membahagi kasih.

Tetapi, hati perempuan Awani tetap sedih. Bila malam menjelma, suami tidak pulang ke sisi, Awani mula berfikiran yang bukan bukan. Awani mula terbayang adegan panas Haizat dan Ella. Jika mereka telah terlanjur, tidak mustahil Haizat dan Ella bertemu di hotel dan berasmara dana.

Ah... mereka belum berkahwin. Jika tidak di hotel, ke mana Haizat menghilang ? Telah dua tiga malam Haizat tidak pulang ke rumah. Haizat hanya pulang untuk menyalin baju di pagi hari dan pergi semula ke pejabat.

Masuk malam ke tiga, Awani tidak dapat menahan perasaan ingin tahunya. Ke mana Haizat ? Dengan sedikit keberanian dan rasa sayang serta cemburu, Awani meminjam motorsikal jiran. Dikatakan ingin dipinjam semalaman. Dan malam itu, dalam sejuk malam Awani redah tanpa lesen, tanpa arah. Setiap hotel di Jitra dan Alor Star Awani jengok. Jika terdapat kereta Haizat di situ, tentu sekali Awani akan tunggu di situ. Awani ingin lihat wajah Ella. Awani terbayang pada episod drama yang menyaksikan pergelutan dan perebutan isteri dan perempuan yang menjadi orang ke tiga. Debar di dada Awani tidak surut selagi tidak bertemu kereta Haizat.

Awani yakin, jika dia terlihat Ella dan Haizat bersama, dia tidak akan marah. Dia hanya ingin sebab untuk membenci Haizat. Jika dia dapat membenci Haizat, Awani akan pergi dari hidup Haizat dengan mudah.

Seperti kata kawan Awani, "Suami seperti itu seperti cengkenit yang terlekat pada kulit kita, cabut dan buang sahaja, tidak bermakna dia dalam hidup jika menyakitkan diri kita."

Tapi mampukah Awani membenci Haizat seperti cengkenit itu ? Haizat tidak pernah memukul Awani. Haizat hanya menyakiti emosi Awani. Tapi, bila sahaja melihat wajah Haizat waktu dia tenang, segala apa yang Awani rasa, sedih dan sebagainya hilang. Ajaibnya cinta.

Awani pulang ke rumah bila embun jantan hampir menitik. Beberapa jam lagi Azan subuh berkumandang. Awani menanti Haizat di rumah. Awani ingin mendapatkan kepastian. Menanti kepastian dari seorang yang kita telah beri kepercayaan untuk membuat keputusan, sangatlah menyakitkan.

Dan lebih menyakitkan lagi bagi Haizat. Untuk membuat keputusan, bukan mudah. Keputusan ini akan menentukan jalan hidup Haizat akan datang.

Haizat keluar dari rumah, berjalan tidak tahu tempat di tuju. Berpusing pusing Haizat dilebuh raya.

Otaknya berputar ligat untuk membuat keputusan. Ella sangat disayang. Awani tak boleh dilepaskan. Haizat berhenti di hentian Gurun, dan berfikir lama di situ. Haizat cuba untuk terus ke Perak, tapi di pertengah jalan, dia pulang semula. Tidak tahu apa yang patut dilakukan. Telah 3 malam Haizat tertidor di dalam kereta di lebuh raya. Haizat takut untuk balik dan membuat keputusan.

Awani baginya bagai orang yang telah teguh. Awani telah kuat. Awani telah banyak bersabar. Melihat wajah Awani, Haizat tidak tahu apa yang patut dikatakan. Haizat telah banyak melihat air mata Awani kebelakangan ini. Haizat juga membaca diari dalam diam.

Haizat tahu Awani terlalu sayangkannya. Dalam diari, Awani bercerita segalanya. Haizat tahu Awani menderita. Rasa bersalah menyelubungi hati Haizat. Biar sekuat mana Haizat buat agar Awani membencinya, Awani tetap cintakan Haizat.

Mampukan cinta Awani memadam cinta Haizat pada Ella ?





Sunday, June 07, 2009

Petang itu sewaktu Haizat berehat sambil menonton TV, Awani berada di sebelahnya. Awani memerhati Haizat. Sedih betul Awani untuk mengungkapkan kata-kata yang ingin dia luahkan sebentar nanti. Rasa ingin saja Awani pendam tetapi, Awani tahu, itu bukan penyelesaian. Dengan lafaz bismillah dalam hati, Awani memulakan bicara.

"Abang... saya ingin berbincang..."

"Ok... cakap la..."

"Abang... saya sangat sayangkan abang"
"Saya ingin abang bahagia"
"Biar dengan siapa abang hidup, saya ingin abang bahagia"
"Kalau abang tidak bahagia hidup dengan saya, saya sanggup di lepaskan"
"Jika abang ingin berkahwin lagi pun, saya relakan"
"Abang buat apa saja keputusan, saya akan terima, demi kebahagiaan abang"
"Saya tunggu abang buat keputusan"

"Kenapa cakap macam ni ?"

"Ella dah cerita macam macam pada saya, dan saya rasa tidak mampu membohongi hati saya lagi"

Haizat terdiam.

Awani tidak sangka, dia dapat ucapkan ini dengan tenang.

Awani hanya menanti keputusan daripada Haizat sahaja sekarang. Terpulang pada Haizat, apa yang ingin dia lakukan. Awani sedang berusaha untuk tabahkan hatinya dan menerima takdir sebaik mungkin.

Awani ingin jadi orang yang tabah.
Posted by Picasa

Sewaktu ketiadaan Awani, Haizat terus ke KL seperti yang dijanjikan, mengambil dan menghantar pulang Ella ke kampungnya.

"Abang... Ella nak tanya la..."

"Tanya apa?"

"Bila abang kawin ?"

"Hmmm... 3 tahun lepas"

"Waktu tu kita dah kenal yer ?"

"Yer..."

"Kenapa abang kawin juga?"

"Sebab semuanya persediaan dah dibuat"

"Kenapa abang tak batalkan ?"

"Abang tak punya alasan untuk batalkan. Apa kata orang tua abang ?"

"Hmmm... kalau abang batalkan, tentu sekarang kita tak susah begini. Ini, kalau mak dan abah suruh kawin dengan orang lain, macam mana ?"

"Janganlah buat macam tu. Dulu, masa keluarga Ella nak putuskan pertunangan kita, abang hampir gila. Setiap hari abang termenung. Abang dah tak macam orang siuman." Haizat teringat, betapa seksanya dia saat itu. Tidak sedar dia tertidur dipangkin rumah Pak Long, tidak sedar bajunya tidak bersalin 2 hari, tidak mandi, kusut masai.

"Kalau macam tu, abang cepat cepatlah ceraikan isteri abang"

"Ok la.... Nanti abang jumpa keluarga Ella, abang janji untuk kawin dengan Ella selepas Ella habis belajar, ok ?"

"Hehehehe...."

Gembira betul Ella mendengar kata kata Haizat.

Cinta betul Haizat pada Ella. Betapa Haizat sanggup bersusah payah mengambil dan menghantar Ella sejauh itu. Sedangkan Awani minta menghantar ke kampung yang jaraknya hanya sejam lebih, rasanya menyusahkan, tapi, untuk Ella, perjalanan 6 jam tidak terasa.

Sepulangnya Awani di rumah, kereta tiada. Sewaktu menalifon Haizat, katanya dia terpaksa outstation tergesa gesa. Awani hanya menanti di rumah, seperti biasa.

Tengah malam itu, telefon rumah berdering. Jarang Haizat ingin menghubungi Awani, jadi Awani tidak berharap sangat pada panggilan Haizat. Hatinya berdebar-debar jika mendapat panggilan daripada Ella lagi.

"Hello... ", seperti biasa, Awani tidak memberi salam kerana bimbang bukan muslim yang menalifon ke rumah.
"Hello... Kak Wani ke ?"
"Yer..."

Hampir gugur jantung Awani mendengar suara itu lagi. Tapi, Awani berlagak biasa dan mengawal suara.

"Kak... kenapa kakak masih bersama Abang?"

"Kenapa pula ?"

"Dia sayangkan saya, dia tak cintakan Kak Wani"

"Mana Ella tahu?"

"Dia cakap, dia dah tak selera dengan Kak Wani". Hampir meletup dada Awani mendengar kalimat itu dari seorang anak dara dan muda darinya.
"Dia juga cakap, kakak mandul"
"Dia janji dia nak kawin dengan saya"

Awani tidak dapat menjawab kata-kata itu. Dia diam... dan terus diam... dan meletakkan telefon perlahan-lahan.

Awani terduduk di birai katil, sambil menangis. Air matanya tidak lagi dapat ditahan dengan penghinaan ini. Biar sekuat mana orang sekeliling mengata dia itu dan ini, tapi bila suami sendiri mengata dia mandul dan tidak selera, dia rasa sangat sedih. Selama ini, mereka tidak berusaha bersungguh sungguh untuk berubat.

Betulkah dia yang mandul ?

Bagaimana dengan Haizat ? Apa yang Haizat usahakan ?

Awani teringat dua bulan lepas, Awani mencuba ubat Clomid untuk membuat dia subur. Dia suarakan pada Haizat mengenai ubat tersebut dan waktu bila dia patut subur dan waktu bila patut bersama. Haizat hanya ketawakannya, dan Haizat memandang remeh pada usaha Awani.

Pernah juga Awani mengajak ke klinik pakar, Haizat marahkannya kerana katanya membazir duit.

Apakah sudah cukup usaha mereka yang menyebabkan Haizat sanggup melemparkan tuduhan itu ?

Awani menangis dan menangis di tikar sembahyang. Membaca yasin untuk meredakan tekanan perasaan.

Kepulangan Haizat di pagi itu, Awani sambut dengan telekong masih di badan. Awani sedih sangat bila dapat memeluk Haizat sepulangnya Haizat. Biar apa pun Haizat lakukan, Awani tidak tahu bagaimana dia hendak membenci Haizat.

Entah kenapa, cinta Awani terlalu agung buat lelaki itu. Biarpun suaminya tidak mengasihi Awani, cinta Awani tetap mekar setiap kali melihat wajah Haizat.

Awani fikir, dia perlu lakukan sesuatu...
Posted by Picasa

Thursday, June 04, 2009

Di kampung, Awani sangat seronok. Bersama ibu dan bapa serta adik beradik yang ramai. Dia boleh lakukan apa sahaja. Tidak seperti di rumah mertua, segalanya rasa kekok. Biarpun dia cuba untuk menganggap keluarga suami seperti keluarga sendiri, tapi kekadang tidak sama. Keluarga suami yang banyak masalah, kekadang bergaduh sesama sendiri atau mudah kecil hati dengan sesuatu yang bukan dia maksudkan, buat Awani semakin susah menyesuaikan diri.

Pernah Mak Ngah kecil hati hanya kerana Awani kata,
"Mak Ngah, nanti kita kawinkan saja Mak Su tu, tapi jangan pula kita beritahu orang, biar semuanya rahsia"
Mak Ngah terus bermasam muka.
"Kenapa ? Ingat Mak Ngah nak cerita kat semua orang ke ?"

Awani terkedu dengan pertanyaan Mak Ngah. Tidak terniat dihatinya nak kata begitu, tapi itu yang Mak Ngah faham. Mak Su ibu tunggal dengan seorang anak perempuan. Mak Su dan Mak Ngah tinggal berdekatan, dan Mak Su menjaga ibu tua yang sakit. Dan suami Awani pula tinggal bersama Opah sedari kecil lagi.

Awani cadangkan perkahwinan kali kedua Mak Su kerana orang keliling sering mengata pada Mak Su. Mak Su dikatakan cuba merampas hak orang lain. Mak Su selalu bawa bakal Pak Su ke rumah Mak Su. Itu sebab Awani cadangkan mereka berkahwin. Tambahan lagi, rumah sewa Awani berdekatan dengan Danok/Sempadan Siam. Danok adalah tempat mudah untuk pasangan yang ingin berkahwin secara segera.

Kekadang Awani dimarah kerana membuat Haizat menderita. Awani tidak faham, kenapa Haizat sering pulang ke rumah ibubapa kandungnya sendiri dalam keadaan serabut dan tidak terurus. Ini menyebabkan mereka salah faham pada Awani. Pernah sewaktu Awani mencari Haizat, Awani menalifon ke rumah ibubapa Haizat, Awani dimarah ibu mertuanya. Waktu itu, Awani baru berpindah kerja dan berpisah dengan Haizat. Sedang Haizat masih bekerja di cawangan yang asal. Memang menyakitkan bila berpisah dengan suami, tapi tambah menyakitkan bila dibuat begitu.

"Kenapa tak balik ?"
"Haizat mak tengok tak terurus. Tidor kat bawah rumah orang. Baju pun selekeh"
"Saya nak buat macam mana ? Saya jauh..."
"Itu la... kenapa pindah tempat kerja ?"

Awani akhirnya diam.

Awani terasa ingin saja menjawab. Dia berpindah kerana dia tidak tahan tinggal bersama mereka. Bila Awani ajak Haizat menyewa rumah yang sangat dekat dengan tempat kerja mereka, Haizat memang menyewa tapi Opah tidak setuju Haizat berpindah, kerana katanya buang duit jer sewa rumah. Bagi Awani, dia inginkan keselesaan berduaan dengan Haizat. Sepanjang mereka berkahwin dan berada di rumah Mak Su, Awani tidak dapat bermesra dengan Haizat. Bila Awani pegang tangan Haizat, Haizat akan menepis, katanya malu dengan keluarga. Keadaan rumah Mak Su yang biliknya tidak terlindung dan keluar masuk orang ke bilik utama tempat mereka beradu, buat Awani tertekan.

Tiada langsung ruang untuk Awani bersendirian secara aman dengan Haizat. Mereka bersama dalam keadaan yang tidak selesa. Sekurang kurangnya itu yang Awani rasa. Awani cukup tertekan. Awani harap, berpindah rumah boleh buat Haizat berubah. Tapi sayang, bila berpindah, setiap minggu Haizat keluar. Katanya balik rumah Opah. Setiap minggu juga Awani tinggal sendirian di rumah. Jadi, keputusan untuk berpindah jauh dari keluarga Haizat adalah agar Haizat tidak pulang ke rumah orang tuanya setiap minggu.

Awani perlukan masa untuk mereka berdua. Awani inginkan kemesraan sebagai suami isteri.

Seketika kemudian, Haizat berpindah mengikut langkahnya. Tetapi tinggal berjauhan dari rumah keluarga Haizat tidak dapat membendung Haizat daripada setiap minggu balik menjengok Opah.

Kata Haizat, Opah tua. Itulah masanya dia menjaga Opah.

Tapi... yang Awani hairan, jika kebetulan mereka pulang bersama ke kampung Haizat, tidak pula Haizat sentiasa menjaga Opah. Haizat sentiasa keluar. Keluar pagi, balik malam.

Kalau ikutkan hati Awani, ingin saja dia pulang terus ke rumah sendiri. Tapi, kerana tiada kereta dan tidak tahu memandu, terpaksa saja dia menanti. Biarpun pahit mendengar sindiran Mak Su dan Mak Ngah mengenai Haizat yang balik ke rumah tapi tidak lekat, tak sempat panas punggung dah keluar, Awani tetap sabar.

Pernah sekali, Awani sangat tertekan, Awani berjalan jalan sekitar rumah Mak Su dalam taman. Di lihatnya Haizat ditepi kereta sedang bergelak ketawa menalipon siapa pun dia tak tahu. Sangat asyik Haizat bergayut tanpa sedar Awani hampir mendekati. Bila lihat saja Awani, Haizat cepat cepat letak telefon. Haizat kata, dia dah nak balik. Tapi semua tu buat Awani tertanya tanya.

Semua tu buat Awani tidak selesa pulang ke rumah Haizat. Baginya kalau pulang ke rumah Haizat, nanti dia ditinggalkan sendirian juga dengan keluarga Haizat. Haizat sendiri keluar berjalan tanpa mempelawa sedikit pun Awani untuk ikut serta.

Walaupun tidak selesa, Awani tetap pulang juga bila Haizat kata ingin pulang ke rumah Opah.

Awani lebih selesa balik ke rumah keluarganya sendirian daripada dengan Haizat. Jika dengan Haizat, baru 10 minit duduk, Haizat nak mula tidak selesa dan suruh Awani bersiap untuk balik.

Awani gunakan hujung minggunya sepuas puas hati. Sewaktu ingin meninggalkan rumah, Awani memeluk ayah dan ibunya. Ibunya memeluk erat Awani. Bila dalam kehangatan dakapan ibu, hampir saja mengalir air mata Awani. Seakan ingin diluahkan pada ibu tersayang penderitaannya. Tapi Awani sedar, tanpa luahan kata kata, seorang ibu tahu anaknya menderita.

Dan Awani tetap pendamkan semuanya dalam hati... segala apa yang keluarganya kata mengenai Haizat, dia tetap menyanggah. Awani tetap memuliakan suaminya. Dengan harapan, suatu hari nanti, Haizat berubah dan menyayanginya.
Posted by Picasa

Sekembali dari cuti di KL, Awani dan Haizat berehat di ruang tamu.

"Hujung minggu ni saya nak balik kampung, lama dah tak jumpa family saya"
"Aku tak mau balik... tak selesa, lagipun aku ada kerja"
"Abang hantarkan saya sekejap, boleh ?"
"Balik la dengan bas... bukan susah pun"
"Tapi... cuti semester sekarang ni bas tak masuk dalam"
"Tak apa la... aku hantar ke stesen bas kat luar tu"
"Ok la bang... "

Awani tak meminta banyak. Awani faham, tentu penat memandu. Lagi pun Haizat tidak betah bersama dengan keluarganya. Awani terdengar bunyi SMS masuk ke telefon Haizat. Seketika kemudian, Haizat keluar tanpa sempat meninggalkan pesan padanya. Awani masuk mandi dan solat maghrib.

"Ada apa SMS ni ?"
"Ella rindu la..."
"Isk... kan baru jer jumpa"
"Abang... Ella nak balik hujung minggu ni, susah la naik bas"
"Tak apa la... nanti abang ke KL. Kita balik sama sama"
"Abang nak ambil Ella ker ?"
"Yer la... "
"Eeeeeeee... bestnya.... "
"Untuk Ella, abang sanggup lakukan apa saja"

Seronok betul Ella bila Haizat sanggup untuk bersusah payah dari utara ke KL semata mata untuk mengambil dan menghantar dia balik ke Perak. Ah... tentu Haizat juga ingin balik Perak. Dia pernah ke rumah Haizat, berjumpa dengan ibu Haizat dan ibu saudara Haizat.

Pada waktu ayahnya ingin memutuskan pertunangan, ibu saudara Haizat itu yang datang ke rumah Ella.

Pada ayah dan ibu Ella, ibu saudara Haizat memaklumkan yang Haizat masih punya isteri. Mereka terpaksa datang kerana Haizat memaksa mereka datang untuk menyelesaikan kemelut yang dia cipta. Mereka tidak dapat berbuat apa apa kerana ternyata Haizat masih punya isteri dan isteri Haizat masih balik ke rumah ibu bapa Haizat.

Mau atau tidak, Ella perlu bermadu. Tapi kata putus abahnya "Tak mungkin anak saya bermadu" buat harapan Ella punah. Untuk mendapat restu ibu bapanya, dia perlu pastikan Haizat miliknya seorang. Dia tahu Haizat cintakan dia seorang. Mana mungkin Haizat cintakan isterinya ?

Ella rasakan tidak patut Awani terus bersama Haizat. Tidak malu betul Awani. Haizat tidak suka, tetapi Awani tetap tidak mahu lepaskan Haizat. Haizat beritahu dia ingin ceraikan Awani, tetapi Awani tak mahu diceraikan dan memujuk macam macam. Sudahlah tidak tahu memasak, suka melawan cakap suami. Dan lagi satu, dah tentu tentu Awani tak boleh beranak, buat apa lagi tunggu, pergi la... orang dah tak suka, buat apa tunggu ?

Geram betul Ella pada Awani. Awani baginya adalah penghalang pada kebahagiaan yang patut dia kecapi bersama Haizat.
Posted by Picasa

Wednesday, June 03, 2009

Waktu Haizat masuk, Awani pura pura tidor. Sepeninggalan Haizat tadi, otaknya berputar ligat menganalisa perjalanan perkahwinannya. Selama mereka berkahwin, tidak sekali pun Haizat menunjukkan yang dia benar benar cintakan Awani. Awani tertanya tanya adakah ruang di hati Haizat untuk dirinya ? Selama 3 tahun dia memendam perasaan. Dia buat segalanya untuk Haizat. Tapi tiada satu pun yang Haizat hargai, segalanya salah di mata Haizat.

Dengan hadirnya Ella, tentu Awani tidak dapat bersaing. Setahu Awani, Ella masih muda. 5 tahun lebih muda dari dirinya. Sedangkan Awani pula lebih tua setahun daripada Haizat. Tentu saja Haizat lebih suka pada yang muda. Dia tiada apa yang dapat dibanggakan. Lagi pun mereka tidak punya anak.

Awani benar-benar ingin percaya yang hanya Ella yang tergila-gilakan Haizat.

Tetapi, sepanjang mereka di KL, kemana Haizat seharian ? Tak mungkin berada di rumah Hamlee. Buat apa dia di sana ?

Apa yang perlu Awani buat untuk membuat Haizat menyayanginya ? Air mata Awani mengalir semula membayangkan tiada yang menyayangi. Seingat Awani, waktu mereka berkenalan, Haizat menyayanginya. Mereka sering bergelak ketawa dan Haizat sering menghubunginya melalui telefon. Mereka juga keluar berdua-duaan biarpun jarang. Bermula dengan teman sepejabat, Haizat dan Awani menjaga batas batas pergaulan mereka.

Sikap Haizat yang malu malu waktu itu membuatkan Awani tidak mengharapkan dia di layan seperti pasangan kekasih yang lain. Sewaktu mereka bertunang, Haizat berpindah ke cawangan yang berhampiran dengan tempat tinggalnya. Kata Haizat, mudah bagai Haizat menjaga ibunya yang tua.

Mereka bertunang dengan janji setahun sahaja, selepas itu berkahwin. Biarpun Haizat ingin menunda perkahwinan, Awani tidak benarkan. Bagi Awani, jika ditunda, tentu tak menjadi.

Haizat beri alasan tidak cukup wang. Awani sanggup kongsi dua.

Akhirnya mereka berdua diijabkabulkan dengan meriah. Menitis air mata Awani bila sekali lafaz, mereka sah sebagai suami isteri. Sejak malam pertama lagi, Awani berharap mereka ada dapat anak secepat mungkin. Mana tahu, sehingga 3 tahun dia berkahwin, dia tetap tidak dikurniakan anak.

Pada permulaan perkahwinan lagi Haizat dingin dengannya. Dia hairan dengan sikap Haizat. Haizat tidak seperti pasangan pengantin yang lain, yang sentiasa tersenyum bahagia. Haizat selalu mencari salah Awani. Awani tetap bersabar. Awani cuba faham, tahun tahun awal perkahwinan adalah tahun untuk mengenali pasangan.

Awani cuba memperbaiki diri. Membeli buku bagaimana menjadi isteri yang terbaik untuk suami. Awani juga membeli buku bagaimana membelai dan mengurut suami. Semua Awani praktikan.

Pernah suatu hari, selepas pulang dari kerja, Awani memicit Haizat sehingga Haizat tertidor. Selepas itu Awani berbaring di sebelah Haizat dan ingin memeluk Haizat. Apa yang dia dapat ? Hanya di marah dan ditepis tangannya. Waktu itu, mereka berkahwin selama 2 bulan. Inai masih merah di jari. Saat saat itu, sepatutnya pasangan suami isteri sentiasa ingin berduaan dan berdekatan.

Awani merajuk dan menangis sendirian di penjuru dapur rumahnya. Haizat terus tertidor sehingga ke pagi tanpa rasa bersalah. Esoknya Haizat berlagak seperti tiada apa yang berlaku. Pergi kerja dan berharap mendapat layanan yang baik daripada Awani tanpa fikirkan rajuk Awani. Akhirnya Awani tidak lagi merajuk. Segala apa yang berlaku, Awani pendam dalam diam. Biar orang sekeliling katakan dia bodoh, dia terlalu manjakan suaminya, terlalu takutkan suami, biarlah... Semuanya Awani pendam... pendam dalam hatinya yang paling dalam.

Sehingga malam ini, Awani terasa sangat sedih. Sedih diri tidak dihargai. Air mata Awani mengalir lagi... dan akhirnya dia tersedu sedu. Segala apa yang dipendamkan diluahkan dalam sedu sedannya.

"Mak... Wani sangat terluka"
"Mak... anak mak sangat sedih"
"Mak... anak mak tak sanggup lagi bertahan..."

Awani memeluk bantal bagaikan memeluk ibunya....
Posted by Picasa

"Abang... hari boleh kita jalan jalan ronda KL?"
"Aku nak pergi rumah Hamlee"
"Saya ikut..."
"Tak payah la... sekejap saja"
"Kita datang sini nak bercuti bersama..."
"Yer la.. yer la... malam karang kita keluar"

Awani menanti di hotel sementara Haizat keluar. Tiada aktiviti selain menonton tv. Sungguh membosankan.

Sementara Haizat, ke UiTM untuk bertemu Ella seperti janji yang dibuat semalam. Hari ini Haizat masuk ke kampus kerana Ella ada kuliah. Melihat Haizat di hentian bas, senyuman Ella melebar. Sukanya hati dia. Teman temannya mengusik bila dia bertemu Haizat.

"Wah... hensem betul pakwe kau"
"Padan dengan kau... sama cantik sama hensem"

Kata kata temannya buat Ella lagi gembira. Terasa kembang setaman. Gembira kerana Haizat datang ke kampus. Kelasnya hanya 2 jam sahaja hari ini. Dia free selepas itu. Hari ini dia ambil peluang lagi untuk berjalan jalan dengan Haizat.

Halangan ayah dan ibunya tidak diendahkan. Terasa betapa dia lebih mencintai Haizat lebih dari segala. Bagaikan halangan itu satu motivasi untuk dia berusaha hidup bersama dengan Haizat.

"Abang... kita nak pergi mana hari ni ?"
"Ke mana sayang nak pergi ?"
"Kita tengok wayang nak ?"
"Boleh juga..."

Haizat kembali ke hotel selepas menghantar Ella. Waktu itu, azan Maghrib telah berkumandang di corong radio keretanya. Awani yang menanti dengan sabar tidak berkata apa. Selepas mandi dan bersiap semula, Awani dan Haizat keluar. Awani berharap mereka dapat bersama berdua berjalan jalan ke tempat menarik sekitar KL.

Haizat singgah ambil Hamlee. Awani mengeluh kecil. Hilang peluang dia berduaan dengan Haizat. Bagi Haizat, dia bawa Hamlee supaya Awani tidak bertanya banyak mengenai hal dia keluar tadi.

"Abang.... kita singgah Dataran Merdeka, kita jalan jalan kat situ"
"Tak best la... buat apa pergi situ?"
"Tidak pun kita pergi Center Market... dah lama saya tak pergi situ"
"Isk... susah parking la"

Awani terdiam... sedih betul bila semua rancangannya tidak berjalan seperti yang diharapkan. Mereka hanya keluar makan di sebuah gerai di tepi jalan. Awani betul betul sedih. Jika hanya begini cutinya bagai tiada makna. Tapi dia hanya mampu protes dalam hati.

Dalam perjalanan balik dari makan, Awani meminta Haizat memberhentikan kereta di tepi jalan. Tanpa disangka, Awani meluru keluar. Awani berlari dan berlari. Sehingga sampai ke belakang bangunan yang hanya beberapa kerat orang sedang berdating di situ. Di tepian sungai yang airnya lesu, Awani melihat ke bawah. Air matanya bercucuran.

"Kau ni kenapa ?" Haizat marahkan Awani selepas penat dia mengejar Awani.

"Saya sedih... abang buat saya macam apa tah"
"Saya rasa tak tahan"

"Kau tak takut ker, jalan sorang kat sini hah ?"
"Tak malu kat orang buat perangai macam ni ?"
"Jom masuk kereta"

"Saya tak mahu. Tinggalkan saya di sini."

"Kau tak malu ke kat Hamlee?"

Baru Awani teringatkan Hamlee.

"Biarlah dia... tapi saya nak berjalan jalan di sini"

"Jom masuk kereta."
"Kau ni suka melawan."

Haizat menarik tangan Awani dengan kasar. Awani terpaksa mengikut Haizat masuk kereta. Setelah menghantar Hamlee, mereka pulang semula ke hotel.

Awani diam. Haizat juga diam. Awani teringat pada panggilan Ella. Rasanya dia patut tanyakan sekarang hal itu. Dia perlukan penjelasan.

"Abang... saya dah kenal Ella"

"Ella ? Dia siapa ?"

"Abang jangan bohong dengan saya..."
"Dia call saya dan cerita semuanya pada saya"

"Habis tu ?"

"Apa hubungan abang dengan dia ?"

"Kau tanyalah dia."

"Saya nakkan penjelasan daripada abang"

"Dia yang tergila-gilakan aku"

Hmmm... Awani berpuas hati dengan penjelasan Haizat, atau mungkin itu yang ingin Awani dengar.

Selepas seketika, Haizat keluar. Katanya nak beli rokok. Seperti biasa... alasan yang dah imun di telinga Awani.

Keluar dari hotel, Haizat terus menalifon Ella.

"Hello sayang.."
"Hello... abang dimana ?"
"Abang kat rumah Hamlee"
"OOOOooo..."
"Ella dah makan ?"
"Dah... abang dah makan ?"
"Dah..."
"Ok sayang... tidor nanti jangan lupa mimpikan abang..."
"Eeee... abang nih... Abang pun jangan lupa mimpikan Ella..."
"Yer la... abang mimpikan Ella... siap kena mandi wajib lagi"
"Abanggggggggg... eeeeeeee..." Ella menjerit waktu Haizat berkata begitu.

Masuk ke hotel, Haizat melihat Awani telah tertidor. Melihat bengkak mata Awani, Haizat dapat agak Awani menangis. Melihat air mata yang kering, Haizat tahu, Awani terluka. Tapi hatinya tetap kering. Entah kenapa, tarikan Ella tidak dapat dia tepis. Ruang matanya hanya Ella yang ada. Suara manja Ella sentiasa bergema dalam kepalanya. Wajah bersih Ella yang menjadi igauan Haizat.
Posted by Picasa

Ella sangat gembira balik dari berjalan jalan dengan Haizat. Tidak sangka Haizat datang bercuti selama 3 hari di KL. Dia ingin gunakan masa ini sepenuhnya kerana cuti semester bermula tidak lama lagi. Ini bermakna dia tidak dapat berjumpa dengan Haizat selama dia bercuti. Pasti mak dan ayahnya tidak benarkan dia berjumpa.

Dia teringat awal perkenalan mereka. Sewaktu dia berada di stesen bas di kampungnya, sewaktu dia ingin ke Taiping, dia disapa oleh seorang lelaki. Lelaki yang berkumis nipis tersenyum manis, semanis warna kulitnya. Hati dia tertarik pada pandangan pertama. Sapaan lelaki yang bertanya dia hendak ke mana itu terjalin selama lebih dari 3 tahun sekarang malahan mereka telah bertunang setahun lepas.

Dia tidak sangka Haizat memiliki isteri. Kerana setiap minggu mereka berjumpa. Pertunangan mereka diatur oleh ibu bapa angkat Haizat kerana Haizat memaklumkan yang ibunya sakit.

Ella terkejut juga sewaktu ibu dan ayahnya balik suatu petang dalam keadaan marah.

"Ella... Ella tau tak, Haizat tu dah ada isteri ?"
"Apa mak ? Apa yang mak cakap ni ?"

"Betul... mak pergi kenduri kawan mak tadi". Ayahnya masih diam menahan marah.
"Anak dia kawin. Kebetulan isteri anak kawan mak tadi tu kerja kat tempat yang sama dengan tunang Ella"
"Jadi mak cakap la Ella dah bertunang dengan Haizat itu ini..."
"Kau tau dia cakap apa ?"
"Dia kat Haizat dah kawin... dengan kawan sepejabat dia... dia kenal isteri Haizat dan Haizat sendiri"

"Dia salah orang kot ? Tak mungkinlah"

"Mak pun ingatkan dia silap orang... tapi bila dia beritahu nama Haizat siap dengan bin dan tempat tinggal serta cawangan, mak tak dapat nak kata itu bohong"
"Mana mak nak letak muka nih ?"
"Mak tak mau anak mak jadi perampas suami orang"
"Mak tak mau anak mak dimadukan"

"Abah harap, Ella jangan jumpa lagi Haizat". Kata ayah Ella dengan tegas.
"Kita akan putuskan pertunangan ni"

"Mak.... ". Ella menangis mengenangkan nasib. Angannya musnah. Dia memeluk ibunya berharap mendapat kekuatan daripada ibunya. Waktu itu, rasa marah membuak buak. Segala lakonan Haizat terpapar didepan mata.

Biar ingin dilupakan, bayangan Haizat masih menari nari di depan matanya. Setiap kali ingin terlelap, dia teringat pada kata kata sayang Haizat. Setiap kali dia pejam, dia teringat janji Haizat ingin memperisterikannya. Dia cuba bersungguh sungguh untuk membenci Haizat.

Seminggu juga dia tidak mahu berjumpa Haizat. Tapi akhirnya dia kalah bila setiap hari Haizat datang ke tempat dia bekerja. Oleh kerana halangan orang tua, jarang dia dapat berjumpa dengan Haizat lagi. Rasa terseksa tidak dapat diterangkan. Betapa dia rindu untuk berjalan-jalan di Tasek Taiping, berpegangan tangan, minum segelas, suap menyuap. Semuanya meninggalkan memori indah yang sukar dilupakan.

Haizatlah yang menyuruh dia menyambung belajar sementara dia masih muda. Umur 22 tahun tidak terlewat untuk dia menyambung belajar. Lagipun dengan menyambung belajar, mereka dapat berjumpa tanpa pengetahuan orang tua Ella.

Dan... sepanjang cuti 3 hari Haizat di KL, Haizat akan datang ke rumah sewanya setiap hari. Mereka keluar bersama. Dia rasakan bagai dunia ini mereka yang punya. Harap, pertemuan ini akan dapat mengurangkan rasa rindu dia nanti.
Posted by Picasa

Tuesday, June 02, 2009

Sewaktu dalam perjalan ke KL, Haizat gembira sangat. Sentiasa tersenyum. Awani gembira melihat perubahan Haizat. Dia benar-benar berharap agar Haizat dapat menerimanya. Dia akan gunakan percutian kali ini dengan sepenuh masa. Dia akan buat yang terbaik bagi suaminya. Dia pasti mereka akan gembira percutian kali ini.

Sampai saja di hotel, mereka check in. Awani menjelaskan deposit hotel dan semua urusan berkaitan. Masuk saja bilik hotel yang dingin, buat hati Awani berbunga. Terbayang adegan panas yang akan berlaku. Semuanya buat Awani tersenyum.

Mereka berbaring sebentar melepaskan lelah. Awani memicit badan Haizat.

"Tentu abang letih drive"
"Tentu la... ingat tak penat ker bawak kereta"
"Ha ah la... kesian kat abang. Kalau saya pandai drive, tentu saya boleh bantu abang"

Selepas Haizat mandi, Awani pula mengambil giliran. Dia masih terbayang lagi adegan panas yang akan berlaku. Keluar dari bilik air, Awani melihat Haizat bersiap untuk keluar.

"Kita nak ke mana bang ?"
"Abang nak keluar sekejap"
"Saya ikut ?"
"Tak payah la... abang nak jumpa kawan sat"

Awani menanti di hotel dengan penuh debaran. Dia bersiap dengan baju tidor seksi yang dibeli kelmarin. Dia berharap mereka akan bahagia.

Awani menanti dan menanti... pukul 9 suaminya tidak balik...

Awani menanti lagi. Melihat keluar tingkap hotel, melihat jalan-jalan jika ada di situ kereta Haizat. Awani menanti penuh sabar. Setiap kereta yang masuk ke perkarangan hotel diamatinya satu persatu.

Setelah pukul 10... Awani mula risau. Bimbang keselamatan suami.

Dicapai telefon hotel, didail no hp suami. Kali pertama tidak diangkat. Selang beberapa minit, dia call semula. Bila terdengar saja suara suaminya menjawab, perasaan lega sukar diucapkan.

"Abang balik pukul berapa ?"
"Jalan jem la... tak boleh balik cepat"
"Ooooo... hati hati bawa kereta"
"Ok..."

Awani menanti sehingga pukul 12. Tentu tidak logik terperangkap dalam kesesakkan sehingga sekarang. Awani mula rasa ingin marah kerana menanti terlalu lama. Dia mula penat berulang alik dari katil ke tingkap.

Bila Haizat sampai pada pukul 1 pagi, Awani menyambutnya dengan senyuman. Haizat yang balik dengan senyuman mematikan marah dan segala yang terjadi tadi. Suaminya membawa balik sebungkus nasi lemak Antarabangsa yang dikatakan sedap sangat itu.

Asalkan suaminya balik, itu sudah memadai baginya. Dia tidak bertanya banyak. Melayan suami seperti mana sepatutnya pada hari percutian ulang tahun perkahwinan mereka. Agaknya baju yang seksi itu banyak membantu...
Posted by Picasa

Haizat sampai ke rumah pada Sabtu malamnya. Esok dia perlu bekerja, jadi dia perlu berehat. Awani menanti kepulangan suami dengan bersiap sakan. Dia memakai semula baju sewaktu mereka akad nikah 3 tahun lepas yang masih bersih dan kemas tersimpan dalam almari. Dia bersiap bagai mahu disandingkan semula. Dia mahu Haizat mengingati waktu waktu manis mereka. Dia dapat agak pukul berapa Haizat sampai berdasarkan waktu bertolak Haizat. Dia tak peduli apa yang Haizat buat di belakang. Dia ingain menjadi isteri yang tidak mudah Haizat lupakan dan tidak mudah Haizat dapat selepas ini.

Sewaktu Haizat sampai, Awani menyalami dan mencium tangan Haizat seperti biasa. Menghidangkan minuman. Haizat tersenyum melihat rupa Awani.

"Kenapa pakai macam ni?"

"Saja... nak ingat kenangan lama"
"Lagipun dah dekat dengan ulang tahun perkahwinan kita"

"Oh... dah hampir 3 tahun dah"

"Abang... boleh tak kita bercuti pada hari tu ?"

"Kita nak ke mana ?"

"Ke mana saja la... "

"Kita tak ada duit"

"Tak apa... saya akan bayar semuanya"

"Ok... kita pergi KL nanti"

"Hehehehe... nanti saya tempah hotel" Awani gembira sangat bila suaminya bersetuju. Terbayang gembiranya berjalan jalan berpimpin tangan di Dataran Merdeka. Suaminya tidak pernah membawa dia bercuti. Tapi dia gembira sangat kerana suaminya bersetuju kali ini.

Malam itu Awani tertidor dengan gembira setelah melayani suaminya. Dia mula angankan sesuatu yang menarik di hotel nanti. Berbagai aksi yang ingin di praktikkan dalam kepalanya. Tentu suaminya tidak akan lupakan dia nanti.
Posted by Picasa

Sewaktu Awani hampir terlelap, telefon rumah berdering. Dia tak tahu siapa yang call, berharap suami tersayang di talian.

"Hello... "
"Hello... Kak Wani ker tu?"
"Yer... saya"
"Saya Ella.."

Berdegup kencang jantung Awani mendengar suara halus manja memperkenalkan nama sebagai Ella. Panggilan lepas, Ella memberitahu dia dan Haizat telah terlanjur. Mengucap panjang Awani mendengar pengakuan berani Ella. Tapi bila Haizat kata tidak kenal Ella, Awani terasa sangat lega. Tapi panggilan kali ini, entah apa lagi. Apa apa pun, Awani perlu menjawab dengan baik dan perlu menjaga tutur kata.

"Yer... Ella, ada apa ?"

"Kak Wani, saya ada abang bersama tadi"
"Hah ?" Awani terdiam...
"Kesian kat abang Haizat, saya picit kepala dia tadi". Awani masih terdiam. Tidak tahu apa yang patut dituturkan.
"OOooooo... Ella kawin la dengan abang Haizat. Boleh sama sama kita bantu dia"
"Yer la... dia nak kawin dengan saya. "
"Jadi kawin la..."
"Saya cakap betul. Kalau tak percaya, telefon keluarga saya."
"Berapa nombornya ?"
"05-83948XX"
"Ok... nanti Kak Wani call dia"

Selepas meletakkan telefon, Awani melihat nombor telefon yang dicatitkan berkali kali. Dia tak pasti, perlu call atau tidak. Perasaannya bercampur baur. Kesian juga jika kata-kata Ella betul. Jika mereka betul betul terlanjur, dia sanggup bermadu dengan Ella. Tak ada salahnya dia bermadu. Dia sanggup terima demi cintakan suaminya.

Rasanya, dia perlu minta penjelasan daripada suaminya. Kelihatan perbualan tadi, Ella tidak tipu. Dia betul kenal Haizat dan bersama Haizat kerana dia tahu Haizat sakit kepala. Patutpun Haizat kelamkabut menjawab telefon dan tak benarkan dia call lagi dan patut juga Hamlee tergagap gagap tadi... Hmmmm.... Awani menganalisa peristiwa satu persatu.

Dia sanggup terima Ella sebagai madunya jika itu yang terjadi. Dari suara Ella, tentu dia seorang yang baik dan lemah lembut. Awani cuba menanam perasaan redha jika itu yang terjadi. Dia akan cuba menjadi isteri yang terbaik buat suaminya. Dia mahu tunjukkan pada Haizat, dia betul betul sayangkan Haizat dan berharap Haizat dapat menyayanginya juga.

Awani tertidor sewaktu jam menunjukkan hampir ke angka 3.
Posted by Picasa

"Abang sakit kepala la...", kata Haizat sambil memicit kepala.
"Jom kita pegi klinik"
"Tak apa la... lepas rehat, hilang la... tapi kita ke rumah adik abang dulu la..."
"Adik abang yang dulu tu ker ?"
"Yer la..."
"Abang boleh drive ke ni ? Kalau tak boleh, biar saya yang drive"
"Abang masih ok...."


Seharian Haizat berjalan di sekitar KL dengan Nor Azila. Keadaan cuaca yang panas membuatkan Haizat sakit kepala.

Mereka sampai di rumah Hamlee waktu maghrib.

Sewaktu keluar dari kereta, tetiba telefon Haizat berbunyi. Melihat nombor yang tertera, muka Haizat berubah.

"Hello"
"Hello... abang kat mana ?"
"Kat rumah Hamlee ni... sakit kepala"
"Abang sakit kepala ? So macam mana ?"
"Tak apa la... "
"Abang dah makan ubat ?"
"Belum... oh ya... kau jangan telefon lagi lepas ni. Aku nak rehat... "
"Ok abang... abang rehat... jaga diri... "
"Ok"

Haizat meletakkan telefon selepas menjawab salam Awani.

"Siapa telefon ? "
"Kak Awani"
"Apa dia nak ?"
"Tak ada apa... usah sembang pasal dia la... abang sakit kepala"

Haizat dan Nor Azila terus memberi salam di rumah Hamlee. Hamlee membuka pintu dan tidak terkejut melihat perempuan yang Haizat bawa. Haizat masuk ke bilik tamu, dan Ella juga masuk ke dapur membantu Irna memasak sambil bersembang. Walaupun tak suka, Irna cuba untuk berbasa basi dengan Ella.

Selepas makan, Haizat terbaring di depan TV. Ella mendekat dan memicit kepala Haizat. Haizat memejamkan mata dan cuba untuk berehat untuk menghilangkan sakit kepala yang berdenyut denyut. Hamlee cuba untuk memberi ruang pada Haizat berdua dengan masuk ke bilik berehat bersama anak dan isteri. Biarpun Irna merungut, tapi Hamlee hanya diam sahaja. Tadi Awani telefon bertanyakan keadaan abang Haizat, tapi Hamlee tidak sanggup untuk bercakap panjang. Tergagap gagap dia menjawab bimbang tersalah cakap.

"Kenapa abang tak lepaskan kak Wani ?"
"Abang kesian"
"Tapi macam mana dengan kita ? Kan mak dan abah cakap, mereka tak suka saya bermadu."
"Nanti la abang fikir macam mana"
"Mak dan abah dah larang Ella jumpa abang"
"Nanti la, abang jumpa dengan mak dan abah, terangkan keadaan sebenar"
"Tapi abang masih tinggal bersama dengan dia"
"Ella jangan risau, abang dah lama tak sentuh dia... abang tak selera"
"Bagus la... tapi Kak Wani tu tak malu betul... abang dah tak suka pun masih nak lagi".

Haizat diam dan masih memejamkan mata berharap kepala yang berdenyut hilang. Jika tidak, Ella terpaksa bermalam di rumah Hamlee.

"Ella tak apa ker kalau tidor di sini ?"
"Abis tu nak buat camna, abang dah sakit"
"Bagusnya... Ella memahami, tidak seperti isteri abang"
"Kenapa isteri abang ?"
"Dia selalu buat abang marah, kami selalu bergaduh, dia tak mau langsung dengar cakap abang"

Selepas pukul 10, kepala Haizat semakin ok. Dia menghantar juga Ella ke rumah sewanya. Mereka disambut oleh teman Ella yang tembam tu. Ena cuba bermuka manis menyambut mereka biarpun hati dia sakit melihat kemesraan yang Ella tunjukkan. Siap cium tangan waktu turun kereta... Huhuhu... Ena rasa nak tadah baldi kerana nak termuntah...

"Kau ni Ella, dah tau laki orang, kau keluar juga"
"Eh... kau ni jeles ker dengan aku ?"
"Tak ada maknanya aku nak jeles"
"Dia tunang aku, suka hati la aku nak keluar dengan dia"
"Tapi dia suami orang, kalau orang buat begitu kat suami kau nanti, apa perasaan kau?"
"Ah... dia dah tak cinta isteri dia"
"Lelaki memang macam tu... kau mana tau sebenarnya, entahkan dia masih sayang isteri dia ?"
"Dia janji dengan aku, dia nak ceraikan isteri dia"
"Haa... itu satu hal lagi, kau nak meruntuhkan rumah tangga orang. Tak baik tau..."
"Ala... isteri dia mandul... itu sebab dia nak kawin dengan aku"
"Kau ni la.... kalau mereka tidak bercerai, kau nak bermadu ker ?"
"Aku akan pastikan mereka bercerai dulu la..."

Ena malas bertekak kerana tidak guna bertekak, Ella dalam alam percintaan, semuanya baik pada pandangan mata dia. Gila agaknya budak nih. Nama saja perempuan tapi tak ada perasaan langsung.
Posted by Picasa

;;