Friday, June 12, 2009

Menanti Pasti... 20

Setelah segalanya Awani serahkan pada Haizat, Haizat tiba tiba menjadi buntu. Fikirannya bercelaru untuk membuat keputusan. Siapa yang terbaik ?

Selama ini, dia tidak pernah terfikir untuk membuat keputusan. Memilih Awani, bermakna dia perlu tinggalkan Ella. Memilih Ella bermakna dia terpaksa meninggalkan Awani. Awani sanggup menerima Ella, tetapi syarat keluarga Ella membuatkan Haizat terpaksa memilih satu antara dua.

Bila dia terpaksa memilih, baru dia terpaksa memikirkan semasak-masaknya.

Adakah dia pasti yang Ella sebaik Awani ? Dapatkan Ella setia dan menyayangi dia sepertimana Awani ? Tidak kejamkah dia meninggalkan Awani semata-mata kerana dia ada yang lain ? Awani tiada yang kurang, kecuali mereka tidak dikurniakan cahayamata. Itu pun, dia tidak menyalahkan Awani sangat. Pastikah Haizat, jika dia berkahwin dengan Ella, mereka akan dikurniakan cahayamata?

Haizat bingung. Untuk membuat keputusan sebesar itu dalam hidup dia, buat Haizat sering termenung. Biarpun dia menyayangi Ella, tetapi sayang pada Awani mula berputik.

Haizat perlukan ketenangan.

Di rumah, Awani gelisah. Sejak Awani meminta Haizat membuat keputusan, Awani cuba untuk redha. Dia sanggup terima apa sahaja yang Haizat katakan. Tapi berdiam diri dan melarikan diri begini, Awani tidak sanggup terima.

Biarpun Awani ingin biarkan Haizat membuat keputusan, dalam fikiran Awani tetap berfikir positif. Jika Haizat memilih Ella, dia akan berundur dengan cara terhormat. Jika Haizat memilih Awani, Awani ingin agar Haizat berubah sikap. Awani tidak ingin lagi memendam rasa. Jika Haizat ingin memiliki keduanya, Awani ingin Haizat adil membahagi kasih.

Tetapi, hati perempuan Awani tetap sedih. Bila malam menjelma, suami tidak pulang ke sisi, Awani mula berfikiran yang bukan bukan. Awani mula terbayang adegan panas Haizat dan Ella. Jika mereka telah terlanjur, tidak mustahil Haizat dan Ella bertemu di hotel dan berasmara dana.

Ah... mereka belum berkahwin. Jika tidak di hotel, ke mana Haizat menghilang ? Telah dua tiga malam Haizat tidak pulang ke rumah. Haizat hanya pulang untuk menyalin baju di pagi hari dan pergi semula ke pejabat.

Masuk malam ke tiga, Awani tidak dapat menahan perasaan ingin tahunya. Ke mana Haizat ? Dengan sedikit keberanian dan rasa sayang serta cemburu, Awani meminjam motorsikal jiran. Dikatakan ingin dipinjam semalaman. Dan malam itu, dalam sejuk malam Awani redah tanpa lesen, tanpa arah. Setiap hotel di Jitra dan Alor Star Awani jengok. Jika terdapat kereta Haizat di situ, tentu sekali Awani akan tunggu di situ. Awani ingin lihat wajah Ella. Awani terbayang pada episod drama yang menyaksikan pergelutan dan perebutan isteri dan perempuan yang menjadi orang ke tiga. Debar di dada Awani tidak surut selagi tidak bertemu kereta Haizat.

Awani yakin, jika dia terlihat Ella dan Haizat bersama, dia tidak akan marah. Dia hanya ingin sebab untuk membenci Haizat. Jika dia dapat membenci Haizat, Awani akan pergi dari hidup Haizat dengan mudah.

Seperti kata kawan Awani, "Suami seperti itu seperti cengkenit yang terlekat pada kulit kita, cabut dan buang sahaja, tidak bermakna dia dalam hidup jika menyakitkan diri kita."

Tapi mampukah Awani membenci Haizat seperti cengkenit itu ? Haizat tidak pernah memukul Awani. Haizat hanya menyakiti emosi Awani. Tapi, bila sahaja melihat wajah Haizat waktu dia tenang, segala apa yang Awani rasa, sedih dan sebagainya hilang. Ajaibnya cinta.

Awani pulang ke rumah bila embun jantan hampir menitik. Beberapa jam lagi Azan subuh berkumandang. Awani menanti Haizat di rumah. Awani ingin mendapatkan kepastian. Menanti kepastian dari seorang yang kita telah beri kepercayaan untuk membuat keputusan, sangatlah menyakitkan.

Dan lebih menyakitkan lagi bagi Haizat. Untuk membuat keputusan, bukan mudah. Keputusan ini akan menentukan jalan hidup Haizat akan datang.

Haizat keluar dari rumah, berjalan tidak tahu tempat di tuju. Berpusing pusing Haizat dilebuh raya.

Otaknya berputar ligat untuk membuat keputusan. Ella sangat disayang. Awani tak boleh dilepaskan. Haizat berhenti di hentian Gurun, dan berfikir lama di situ. Haizat cuba untuk terus ke Perak, tapi di pertengah jalan, dia pulang semula. Tidak tahu apa yang patut dilakukan. Telah 3 malam Haizat tertidor di dalam kereta di lebuh raya. Haizat takut untuk balik dan membuat keputusan.

Awani baginya bagai orang yang telah teguh. Awani telah kuat. Awani telah banyak bersabar. Melihat wajah Awani, Haizat tidak tahu apa yang patut dikatakan. Haizat telah banyak melihat air mata Awani kebelakangan ini. Haizat juga membaca diari dalam diam.

Haizat tahu Awani terlalu sayangkannya. Dalam diari, Awani bercerita segalanya. Haizat tahu Awani menderita. Rasa bersalah menyelubungi hati Haizat. Biar sekuat mana Haizat buat agar Awani membencinya, Awani tetap cintakan Haizat.

Mampukan cinta Awani memadam cinta Haizat pada Ella ?





1 Comment:

  1. IeRdiNa said...
    kita sama2 berdoa..agar kebahagian akan muncul jua..andai itu yang telah diaturkan olehNYA..anggaplah ia suatu ujian yang paling besar...dan banyakkanlah bersabar....

Post a Comment