Sunday, June 14, 2009

Menanti Pasti... 22

Seperti biasa Awani pulang awal dari pejabat. Awani tidak pasti samada Haizat akan berada di rumah atau tidak malam nanti. Hatinya berdoa agar masih ada ruang dalam hati Haizat untuk dirinya. Awani impikan hidup bahagia bersama Haizat. Awani bayangkan anak-anak yang bakal memenuhi rumah mereka. Awani angankan sebuah rumah yang besar dan lengkap untuk mereka meniti hari-hari tua.

Walaupun begitu, jika impian tidak menjadi kenyataan, Awani telah nekad untuk menerima apa sahaja dugaan mendatang. Selagi dia dapat melihat wajah Haizat, baginya, segala dugaan adalah kecil. Awani cuba untuk membuat Haizat bahagia. Kerana dari dulu lagi Awani terpikat dengan senyuman Haizat. Bila Haizat gembira, Haizat tersenyum. Senyuman Haizat dapat membunuh segala rasa sedih dan marah Awani. Asal saja Haizat gembira, Awani sanggup terima apa sahaja.

Deruman injin kereta proton Haizat waktu Awani baru selesai solat Asar membuatkan Awani rasa sangat gembira. Gembira kerana Haizat akan ada di rumah malam itu. Gembira dengan harapan Haizat dapat memberi kata putus padanya.

Dan selepas solat Isya' malam itu, Awani dan Haizat menonton TV. Tiada yang menarik kerana masing masing hanya lebih banyak memandang kosong ke depan. Awani ingin agar Haizat memulakan bicara. Tetapi, melihat keadaan Haizat, Awani yakin, Haizat tidak akan memulakan.

"Abang..."

Haizat memandang Awani. Haizat tahu, Awani inginkan keputusan.

"Abang... jika dia baik untuk abang... kahwinlah dengannya."
"Jika abang tidak bahagia dengan saya, lepaskan saya"
"Jika abang memilih saya, saya akan cuba bahagiakan abang dan kita akan cuba susah senang bersama"
"Jika abang memilih dia, saya doakan abang bahagia"

Awani menyusun ayat perlahan. Semua kata-kata yang diucap telah diolah berhari hari.

"Awani..."
"Lihat abang..."

Pertama kali Haizat bahasakan dirinya abang setelah sekian lama perkataan itu hilang. Rasanya ingin menitik air mata Awani saat Haizat meminta Awani melihat wajahnya.

"Katakan Awani tidak sayangkan abang"

"Saya sayang... ", rasa sebak membuat kata-kata terhenti dan sambungan bergema dalam diri Awani sahaja.

"Awani, abang ingin bahagia dengan Awani. Tetapi, beri masa pada abang."

"Abang, tidak cukupkah masa selama ini ?", saat air mata yang bergenang telah pun turun perlahan-lahan di pipi Awani, Haizat tidak mampu lagi memandang wajah Awani.

"Abang sayangkan Awani. Jangan desak abang"

"Saya tidak mendesak abang. Saya cuma inginkan kepastian dalam hidup saya. Jika abang rasa bahagia dengan dia, abang pergilah. Lepaskan saya"

"Tidak... abang tidak kata abang bahagia dengan dia. Abang sayangkan Awani. Dia yang nak sangat dengan abang"

Awani ingin sangat percaya kata-kata itu. Sumpah, Awani ingin percaya. Dan Awani cuba hidup dengan percaya kata-kata Haizat. Awani cuba berbahagia dengan menganggap kata-kata Haizat adalah kebenaran.

Jika itu kata-kata Haizat, Awani akan cuba membuat Haizat merealisasikan kata-katanya.
Posted by Picasa

1 Comment:

  1. 日月神教-任我行 said...

Post a Comment