Thursday, June 04, 2009

Menanti Pasti... 17

Di kampung, Awani sangat seronok. Bersama ibu dan bapa serta adik beradik yang ramai. Dia boleh lakukan apa sahaja. Tidak seperti di rumah mertua, segalanya rasa kekok. Biarpun dia cuba untuk menganggap keluarga suami seperti keluarga sendiri, tapi kekadang tidak sama. Keluarga suami yang banyak masalah, kekadang bergaduh sesama sendiri atau mudah kecil hati dengan sesuatu yang bukan dia maksudkan, buat Awani semakin susah menyesuaikan diri.

Pernah Mak Ngah kecil hati hanya kerana Awani kata,
"Mak Ngah, nanti kita kawinkan saja Mak Su tu, tapi jangan pula kita beritahu orang, biar semuanya rahsia"
Mak Ngah terus bermasam muka.
"Kenapa ? Ingat Mak Ngah nak cerita kat semua orang ke ?"

Awani terkedu dengan pertanyaan Mak Ngah. Tidak terniat dihatinya nak kata begitu, tapi itu yang Mak Ngah faham. Mak Su ibu tunggal dengan seorang anak perempuan. Mak Su dan Mak Ngah tinggal berdekatan, dan Mak Su menjaga ibu tua yang sakit. Dan suami Awani pula tinggal bersama Opah sedari kecil lagi.

Awani cadangkan perkahwinan kali kedua Mak Su kerana orang keliling sering mengata pada Mak Su. Mak Su dikatakan cuba merampas hak orang lain. Mak Su selalu bawa bakal Pak Su ke rumah Mak Su. Itu sebab Awani cadangkan mereka berkahwin. Tambahan lagi, rumah sewa Awani berdekatan dengan Danok/Sempadan Siam. Danok adalah tempat mudah untuk pasangan yang ingin berkahwin secara segera.

Kekadang Awani dimarah kerana membuat Haizat menderita. Awani tidak faham, kenapa Haizat sering pulang ke rumah ibubapa kandungnya sendiri dalam keadaan serabut dan tidak terurus. Ini menyebabkan mereka salah faham pada Awani. Pernah sewaktu Awani mencari Haizat, Awani menalifon ke rumah ibubapa Haizat, Awani dimarah ibu mertuanya. Waktu itu, Awani baru berpindah kerja dan berpisah dengan Haizat. Sedang Haizat masih bekerja di cawangan yang asal. Memang menyakitkan bila berpisah dengan suami, tapi tambah menyakitkan bila dibuat begitu.

"Kenapa tak balik ?"
"Haizat mak tengok tak terurus. Tidor kat bawah rumah orang. Baju pun selekeh"
"Saya nak buat macam mana ? Saya jauh..."
"Itu la... kenapa pindah tempat kerja ?"

Awani akhirnya diam.

Awani terasa ingin saja menjawab. Dia berpindah kerana dia tidak tahan tinggal bersama mereka. Bila Awani ajak Haizat menyewa rumah yang sangat dekat dengan tempat kerja mereka, Haizat memang menyewa tapi Opah tidak setuju Haizat berpindah, kerana katanya buang duit jer sewa rumah. Bagi Awani, dia inginkan keselesaan berduaan dengan Haizat. Sepanjang mereka berkahwin dan berada di rumah Mak Su, Awani tidak dapat bermesra dengan Haizat. Bila Awani pegang tangan Haizat, Haizat akan menepis, katanya malu dengan keluarga. Keadaan rumah Mak Su yang biliknya tidak terlindung dan keluar masuk orang ke bilik utama tempat mereka beradu, buat Awani tertekan.

Tiada langsung ruang untuk Awani bersendirian secara aman dengan Haizat. Mereka bersama dalam keadaan yang tidak selesa. Sekurang kurangnya itu yang Awani rasa. Awani cukup tertekan. Awani harap, berpindah rumah boleh buat Haizat berubah. Tapi sayang, bila berpindah, setiap minggu Haizat keluar. Katanya balik rumah Opah. Setiap minggu juga Awani tinggal sendirian di rumah. Jadi, keputusan untuk berpindah jauh dari keluarga Haizat adalah agar Haizat tidak pulang ke rumah orang tuanya setiap minggu.

Awani perlukan masa untuk mereka berdua. Awani inginkan kemesraan sebagai suami isteri.

Seketika kemudian, Haizat berpindah mengikut langkahnya. Tetapi tinggal berjauhan dari rumah keluarga Haizat tidak dapat membendung Haizat daripada setiap minggu balik menjengok Opah.

Kata Haizat, Opah tua. Itulah masanya dia menjaga Opah.

Tapi... yang Awani hairan, jika kebetulan mereka pulang bersama ke kampung Haizat, tidak pula Haizat sentiasa menjaga Opah. Haizat sentiasa keluar. Keluar pagi, balik malam.

Kalau ikutkan hati Awani, ingin saja dia pulang terus ke rumah sendiri. Tapi, kerana tiada kereta dan tidak tahu memandu, terpaksa saja dia menanti. Biarpun pahit mendengar sindiran Mak Su dan Mak Ngah mengenai Haizat yang balik ke rumah tapi tidak lekat, tak sempat panas punggung dah keluar, Awani tetap sabar.

Pernah sekali, Awani sangat tertekan, Awani berjalan jalan sekitar rumah Mak Su dalam taman. Di lihatnya Haizat ditepi kereta sedang bergelak ketawa menalipon siapa pun dia tak tahu. Sangat asyik Haizat bergayut tanpa sedar Awani hampir mendekati. Bila lihat saja Awani, Haizat cepat cepat letak telefon. Haizat kata, dia dah nak balik. Tapi semua tu buat Awani tertanya tanya.

Semua tu buat Awani tidak selesa pulang ke rumah Haizat. Baginya kalau pulang ke rumah Haizat, nanti dia ditinggalkan sendirian juga dengan keluarga Haizat. Haizat sendiri keluar berjalan tanpa mempelawa sedikit pun Awani untuk ikut serta.

Walaupun tidak selesa, Awani tetap pulang juga bila Haizat kata ingin pulang ke rumah Opah.

Awani lebih selesa balik ke rumah keluarganya sendirian daripada dengan Haizat. Jika dengan Haizat, baru 10 minit duduk, Haizat nak mula tidak selesa dan suruh Awani bersiap untuk balik.

Awani gunakan hujung minggunya sepuas puas hati. Sewaktu ingin meninggalkan rumah, Awani memeluk ayah dan ibunya. Ibunya memeluk erat Awani. Bila dalam kehangatan dakapan ibu, hampir saja mengalir air mata Awani. Seakan ingin diluahkan pada ibu tersayang penderitaannya. Tapi Awani sedar, tanpa luahan kata kata, seorang ibu tahu anaknya menderita.

Dan Awani tetap pendamkan semuanya dalam hati... segala apa yang keluarganya kata mengenai Haizat, dia tetap menyanggah. Awani tetap memuliakan suaminya. Dengan harapan, suatu hari nanti, Haizat berubah dan menyayanginya.
Posted by Picasa

0 Comments:

Post a Comment