Sunday, July 26, 2009

Telah hampir 3 bulan berlalu sejak pembedahan membuang ketulan pada payudara Awani. Entah kenapa kebelakangan ini, Awani terasa payudaranya sakit semula. Terasa bengkak. Tidak pernah dirasanya begitu.

Adakah berulang semula ? Tetapi sakit kali ini berlainan rasanya. Kedua-dua payudara Awani terasa sakit bila disentuh. Awani tidak mahu membimbangkan Haizat. Sehingga satu saat, Awani terpaksa membasahkan dengan air panas bagi meredakan rasa sakit tersebut.

Takut juga Awani untuk ke klinik. Jika di takdirkan berulang, dan kali ini memang kanser, dan terpaksa membuat pembedahan lagi, bagaimana Awani hendak hadapi ? Debaran lama masa bersisa, datang pula masalah ini.

Dada Awani sentiasa berdebar debar. Awani tidak tahu apakah ini kesan dari pembedahan atau kesan dari perasaan takutnya sahaja. Kekadang penglihatan Awani terasa gelap.

Apa pula sakit kali ini ?

Hari minggu itu, Haizat seperti biasa tiada di rumah. Awani memberanikan diri untuk pergi ke klinik untuk memeriksa. Awani cuba untuk menerima apa saja takdir yang menimpa. Sampai di Klinik Keluarga, Awani mendaftar di kaunter, menggunakan panel klinik tempat kerja Awani, memudahkan semua urusan. Cuma isi borang, dan tunggu nama dipanggil.

Melihat pelanggan lain yang beratur, Awani diam menanti. Di hadapannya, ada seorang ibu dengan anak yang sakit. Ayahnya berdiri di sisi. Di sisi ayahnya, anak yang lebih besar memegang tangan si ayah.

"Sakit apa ?", Awani cuba berbicara untuk membuang rasa jemu menanti.

"Anak ni istimewa, dia memang selalu sakit begini." Si ayah bersuara.

"Ooooooo..."

"Ni anak yatim, emak dan ayah dia dah meninggal. Emak dia adik saya, kami pelihara dia. Dia anak istimewa". Terang pula si isteri.

"Oh... kesiannya...". Sedih Awani mendengar cerita. Kanak kanak tu terbaring, kaki dan tangannya terketar ketar. Awani kira demam, rupanya sakit anak itu memang begitu. Anak kecil itu istimewa, hanya melihat di sana sini, tanpa boleh bangun. Tangan dan kaki yang ada terlalu lemah untuk digunakan, apatah lagi untuk bangun berdiri.

"Selalu dia sakit, tapi kami akan jaga dia macam anak sendiri", Awani hanya diam mendengar lelaki yang disangkanya bapa bercerita. Awani diam kerana sebak, jika dia menjawab, tentu luruh airmatanya. Airmatanya telah bergenang, dan Awani cuba tersenyum. Lelaki itu menggosok gosok kepala anak kecil mereka dengan penuh kasih sayang. Biarpun anak itu tidak sempurna, tapi kasih sayang mereka tiada bandingan, pandangan kasih mereka berdua terpapar pada wajah mereka. Bertuah betul anak kecil itu.

Begitu besar pengorbanan mereka suami isteri.

Mereka sedang menanti untuk mendapatkan ubat. Awani menyelitkan beberapa keping duit dicelah anak kecil itu.

Saat nama Awani dipanggil, Awani mencium dahi anak kecil dan berlalu pergi ke bilik rawatan.

"Assalamualaikum Doktor"

"W'salam"
"Yer... sakit apa ?"

Awani terdiam sebentar, tak tau bagaimana nak mulakan. Nak diberitahu payudaranya sakit, malu pula, tapi dah sampai ke klinik, ahhh... teruskan sajalah...
Sambil malu malu Awani mengadu masalahnya.

"Doktor, dulu saya ada buat pembedahan. Buang ketulan pada breast kiri saya."
Doktor mendengar dengan tekun sambil membuka maklumat berkaitan dengan sejarah perjumpaan lama dengan Awani.

"Sekarang ni, breast saya sakit sangat"
"Nak sentuh pun sakit"
Doktor senyum sahaja. Awani malu juga jika terpaksa memberi doktor lelaki itu memeriksa, tapi apa boleh buat ?

"Bila last datang haid ?"

"Period saya lewat sangat dah. Tapi pusingan haid saya selalu tidak menentu"

"Tak apa la, ambil botol kecil tu, kita buat pemeriksaan air kencing"

Awani berpaling melihat botol kecil di atas sinki dalam bilik tersebut. Awani mengambilnya dan keluar ke tandas. Oleh kerana tidak bersedia, hanya sedikit sampel sahaja yang dapat Awani beri.

Doktor mengambil botol tersebut dari Awani. Mencelup alat ujian mengandung (HPT) berwarna putih ke dalamnya.

"Saya rasa mungkin puan mengandung"

"Eh... betul ker ?"

"Nanti kita lihat keputusannya"

Awani terkejut terdiam. Menanti seketika. Doktor mengeluarkannya dan menunjukkan pada Awani sambil tersenyum.

"Tahniah, line ni memang dua, puan mengandung "

"Err... Berapa bulan ?"

"Saya tak pasti... kita scan tengok"

Awani diarah untuk berbaring di atas katil yang disediakan. Doktor menyapu ubat yang terasa sangat sejuk ke perut Awani.

Doktor menunjukkan tompok hitam di monitor pada Awani.

"Ini kandungan puan. Masih kecil. Sekitar 8 minggu"

Ohhh... Dah lapan minggu ? Macam mana aku tidak perasan ? Kesiannya kat baby, siapa pun tak tahu kehadiran dah 8 minggu. Kalau mama tau awal, tentu awal lagi mama sambut berita gembira ini.
Awani berbicara sendirian.

"Puan..."

"Err... yer doktor"

"Kalau ada masalah, puan boleh datang lagi"

"Masalah breast saya tadi ?"

"Oh... itu biasa. Diperingkat awal mengandung memang begitu"

"Ooooo...". Awani tersipu malu.
"Terima kasih doktor"

Keluar dari klinik, Awani terus menalifon keluarganya memaklumkan dia mengandung. Menjerit gembira bila adiknya mendengar berita itu.

Selesai menalifon keluarganya, Awani menalifon suaminya pula.

"Abang..."

"Yer"

"Awani di klinik ni "

"Kenapa pula ?"

"Awani mengandung..."

"Betul ker ?"

"Betul..."

"Ok... nanti abang balik, kita cerita"

"Ok abang... "

Hati Awani sangat gembira. Tidak tahu bagaimana nak digambarkan. Jika dapat Awani menjerit, Awani ingin melaungkan dan memberitahu pada dunia, dia sekarang telah pun berbadan dua. Awani ingin memberitahu dunia yang dia tidak mandul. Awani ingin memberitahu semuaaaaaa orang yang dia sangat bahagia.

Awani tersenyum sepanjang perjalanan pulang ke rumah.

Kepulangan Haizat malam itu disambut dengan penuh gembira. Haizat sangat bahagia. Awani melihat wajah Haizat yang tersenyum sentiasa tahu yang Haizat tentu gembira bila penantian mereka tidak sia sia.

Mendapat berita gembira ini membuat Haizat terlupa seketika pada Ella dan janjinya untuk melepaskan Awani.

Haizat memeluk Awani dengan penuh kasih sayang. Di atas katil mereka berbicara.

"Abang..."

"Yer sayang..."

"Abang suka anak lelaki atau perempuan ?"

"Abang tak kesah... anak lelaki atau perempuan, sama saja"

"Abang gembira ?"

"Sudah tentu abang gembira. Telah lama kita nantikan saat ini"

"Saya juga abang. Saya rasa sangat bahagia. Saya doakan saat ini sejak malam pertama kita. Saya mahu abang sayangi saya dan anak kita".
Air mata Awani mengalir tanpa dapat diseka saat Awani mengucapkan kata-kata ini.

"Jangan menangis sayang. Abang akan menjaga dan menyayangi Awani dan anak kita"

Awani terdiam, air matanya masih mengalir. Panggilan dari Ella dua hari lepas terngiang-ngiang di telinganya.

"Kami sepadan... abang sayangkan saya. Abang Haizat dah ceraikan Kak Wani"

Awani cuba menepis suara suara itu yang bergema dalam fikirannya. Awani cuba pejamkan mata. Awani hanya ingin fikirkan gembira sahaja. Esok Awani akan khabarkan berita gembira ini pada semua teman pejabatnya. Awani juga akan maklumkan pada jiran tetangga, Kak Ina sebelah rumahnya yang baik dan peramah, pada Kak Cik yang sedang mengandung anak kedua sedangkan suaminya balik sekali sekala dari luar negeri kerana menyambung pelajaran.

Mereka itu selalu berkongsi cerita dan petua dengannya. Awani memegang perutnya, rasa tidak percaya dalam perutnya telah ada 'baby'.

Dalam berkira kepada siapa lagi yang Awani perlu khabarkan berita gembira ini, Awani tertidor dalam pelukan Haizat.


Posted by Picasa

Wednesday, July 22, 2009

Telah seminggu pembedahan membuang ketulan dalam payudara Awani dibuat. Daging merah sebesar 4 jari disatukan ditunjuk pada Haizat pada hari pembedahan. Ngeri Haizat melihat.

Keputusan makmal akan diberi hari ini. Awani menanti dengan penuh debaran dalam minggu minggu itu. Biarpun doktor beritahu kemungkinan bukan kanser, tetapi tetap tidak meredakan ketakutan Awani.

"Ok... bagaimana dengan luka pembedahan ?"

"Dah ok doktor"

"Keputusan saya dah terima. Bukan kanser. "

"Alhamdullilah, terima kasih doktor". Awani menyambut khabar dengan gembira. Haizat disebelahnya hanya tersenyum.

"Walaubagaimanapun, jika ketulan masih ada, puan mesti ke hospital lagi. Walaupun bukan kanser, tetapi ketulan begitu akan mengganggu fungsi payudara."

"Baik doktor, terima kasih"

Di dalam kereta, Awani mengucap syukur berkali kali. Tuhan hanya ingin mengujinya sedikit sahaja.

Haizat memandu pulang tanpa suara. Awani melayan perasaan. Berita gembira tadi meleyapkan kegusarannya selama seminggu lepas. Kesan luka pembedahan hampir tidak kelihatan. Tiada perubahan langsung pada bentuknya.

Doktor itu pakar betul dalam kerjanya. Bagi Awani, dugaan dengan sikap suami dan dugaan tanpa anak, rasanya masih kecil jika dibandingkan dugaan kena penyakit kanser.

Awani berulang mengucap syukur.

Awani tidak mampu untuk mengawal Haizat. Jika Haizat ingin pergi, Awani tidak akan menghalang. Jika Haizat ingin terus bersama, setakat yang Awani mampu, Awani akan cuba bertahan.

Posted by Picasa

Awani sendirian di rumah. Rindu pada suami dipeluknya bantal. Dicuba hubungi suami, tetapi Haizat keletihan, jadi, Awani tidak mahu mengganggu. Awani sebenarnya risau. Baru saja dia memeriksa dadanya, dia baru nak apply apa yang dilihat tadi semasa ceramah kesihatan. Perempuan mesti selalu memeriksa untuk mengesan kanser. Kebetulan bila Awani memeriksa, ada ketulan pada payu dara kirinya.

Awani sangat takut, dia ingin memberitahu suami, tetapi suaminya penat. Awani fikir, esok dia akan ke klinik memeriksa lebih lanjut. Awani ingin mencari doktor perempuan. Tentu malu jika doktor lelaki yang memeriksa.

Awani meminta keluar awal dari pejabat hari itu. Kebetulan kerja tidak banyak, bos Awani beri kebenaran tanpa banyak kerenah. Awani ke klinik di Jitra kerana di sana ada satu klinik doktor perempuan yang akan memeriksa.

"Saya check memang ada ketulan di situ. Besar juga"

"Bahaya tak doktor ?"

"Saya tak dapat pastikan. Puan mesti ke hospital untuk buat pemeriksaan lanjut. Saya akan keluarkan surat rujukan"

"Baik doktor... terima kasih"

"Sama sama..."

Awani keluar dari klinik dengan perasaan berbaur. Awani call Haizat.

"Hello abang..."

"Yer... ada apa ?"

"Abang... saya di klinik"

"Kenapa ?"

"Saya ...." Awani tidak dapat bercerita, hanya tangisan menyambung.

"Kenapa ni ?" Suara gelabah Haizat bertalu talu bertanya.

"Saya check ada ketulan pada breast saya, doktor suruh buat pemeriksaan lanjut", Awani menyambung bila tangisan reda, tetapi air mata tetap mengalir dipipinya. Esakan mengiringi...
"Saya takut bang..."

"Jangan risau la... bukan barah kot ?"

"Tak tau la..."

"Nanti abang balik, kita pegi PPU"
"Awani jangan bimbang... rehatlah. Abang balik malam karang "

"Ok bang... terima kasih..."

Handphone yang baru dibeli minggu lepas ditatapnya lama. Awani perlukan seseorang. Awani ingin memeluk suaminya agar reda debaran dan ketakutannya. Awani berfikir samada dia perlu atau tidak call keluarganya. Kemudian Awani menyimpan handphonenya dalam begnya. Awani terus balik rumah.

Di rumah, hanya pada Allah Awani memohon agar tidak diuji dengan penyakit yang menakutkan itu...

Awani menanti Haizat balik sehingga tertidor. Haizat sampai waktu jam hampir menunjukkan angka 12. Bila saja melihat wajah Haizat, Awani terus memeluk dan menangis lagi.

"Jangan risau, abang ada..."

Awani terus menangis lagi... Banyak dalam fikiran Awani. Jika ternyata itu kanser, dan payudaranya terpaksa dibuang, tentu hubungan dia dan Haizat tidak lagi sama. Awani eratkan pelukannya... Tentu saja Haizat tidak sanggup bersama susah senang dengannya.

"Awani... kenapa ni? Esok kita check... tentu bukan kanser"

"Awani pun minta macam tu... harap harap bukan"

Awani melihat wajah Haizat, bagai itulah tatapan terakhirnya. Haizat memeluk Awani, membawanya ke bilik......
Posted by Picasa

Thursday, July 16, 2009

Haizat termenung sendirian di bilik hotel. Bangun salah, baring salah. Kata kata Ella petang tadi masih terngiang ngiang di telinganya. Bagaimana Haizat nak melepaskan Ella ? Melihat Ella dengan orang lain pun, Haizat terseksa.

Teringat Haizat semasa Ella baru masuk belajar. Haizat ingin bertemu Ella dan merahsiakan untuk mengejutkan Ella, tapi tidak disangka dia melihat Ella sedang bergurau dengan seorang pelajar lelaki.

Haizat marah betul dengan Ella, dan cemburu membuak buak waktu itu. Haizat tidak sanggup kehilangan Ella dan tidak sanggup melihat Ella jatuh ke tangan orang lain.

Haizat berfikir ligat untuk menyelesaikan masalah. Esok dia perlu memujuk Ella. Jika tidak, pasti rajuk Ella akan berpanjangan dan tentu Ella akan buat perkara yang bukan bukan.

Waktu Haizat cuba memejamkan mata, handphonenya berbunyi. Cepat Haizat mencapai kerana fikirkan Ella menalifon. Melihat nombor lain yang naik, Haizat mengeluh kecil... Awani call..

"Assalamualaikum abang", suara halus isterinya memberi salam

"Waalaikum salam..."

"Abang dah tidor ?"

"Belum"

"Abang dah makan ?"

"Dah..."

"Abang... ", belum sempat Awani menghabiskan ayat, Haizat memotong.

"Abang penat la... esok saja Awani telefon abang..."

"Ok abang... abang rehat la"

"Ok"

Haizat bimbang, jika Ella telefon dan enggage, tentu Ella marah. Dah berkali kali Haizat cuba mendail nombor Ella, tetapi tidak diangkat. Tentu rajuk Ella masih bersisa.

Haizat cuba mendail untuk ke sekian kalinya. Kali ini Haizat bernasib baik. Ella mengangkat...

"Hello.."

"Yer... kenapa call ?"

"Ella... jangan la macam ni... susah hati abang..."

"Ella lagi susah hati. Abang dah kahwin. Kalau abang bersama Kak Wani, apa yang Ella rasa. Pernah tak abang fikirkan ?"

"Ella... nanti abang jumpa family Ella, abang janji, abang akan cuba untuk berpisah dengan isteri abang."

"Abang janji tau..."

"Abang janji... nanti bulan 8 nanti, kita balik bersama, kita jumpa dengan family Ella. Nanti abang bawa surat cerai sekali"

"Hehehehe... sayang abang"

"Sayang Ella..."

"Esok, abang nak jumpa Ella tak ?"

"Mesti la... tapi jangan buat macam tadi lagi tau..."

"Yer la... abang ambil Ella kat kolej jer la... Ella nak ponteng kelas Ekonomi... malas betul nak masuk kelas esok"

"Ok.. Ella tunggu abang, abang ambil pukul 9 pagi esok"

"Ok... jumpa esok... love u..."

"Love u too"

Haizat meletak telefon dengan perasaan lega. Sekarang dia boleh tidor dengan lena...
Posted by Picasa

Wednesday, July 15, 2009

Ella bertemu dengan Haizat di kampus. Seperti biasa, senyuman menawan Haizat membuat hati Ella berbunga bunga. Debar di dada tidak keruan. Bila Haizat melihat Ella, semua janji pada Awani hilang.

"Kenapa abang kebelakangan ni ?"

"Tak ada apa la... sibuk dan letih skit."

"Abang dah tak sayang Ella ke ?"

"Mana mungkin... sayang adalah perempuan yang bertahta di hati abang"

Sambil memusing musing straw di gelas minuman, Ella tersenyum gembira mendengar kata-kata Haizat.

"Abang... hujung tahun ni Ella akan buat latihan industri kat bank."
"Ella tidak tinggal di kampus lagi. Ella akan tinggal di rumah pakcik"

"Hah ? Jadi bagaimana dengan kita ?"

"Itu la... kalau Ella tinggal di rumah pakcik, kita susah bertemu"
"Silap silap, call pun susah"
"Itu la... abang cepatkanlah proses cerai abang tu"
"Mak dan abah tentu akan terima abang kalau abang dah bercerai"

Haizat menelan liur mendengar kata kata Ella.

"Lepas Ella abis belajar, kita kawin la"

"Amboi amboi... dah sedia ke jadi isteri abang ni ?"

"Eh... Ella dah bersedia lama dulu, hanya abang jer yang asik tangguh"
"Kalau abang ceraikan isteri abang, tentu kita dah kahwin sekarang !"

"Hmmmm..."
Haizat terkelu.

"Nantilah abang fikirkan macam mana nak buat. Nanti abang jumpa dengan keluarga Ella semula, kita bincang baik baik."

Haizat memerhati muka Ella. Melihat mata bulat Ella. Dalam tudung pun, Ella tetap manis.

"Ella, apa kata kita kawin saja tanpa persetujuan mak ayah Ella ?"

"Mana boleh !!!"
Ella bersuara tegas.
"Ella anak perempuan tunggal kat rumah tu. Tentu mak abah kecewa nanti."

"Kalau Ella bermadu dengan...."... Belum sempat lagi Haizat bercakap, Ella memotong.

"Abang jangan nak buat hal... kan Ella dah cakap, mak ayah tak mau Ella bermadu. Hidup bermadu ni susah."

"Pening la kepala abang ni. "

"Apa yang abang pening ? Ceraikan saja Kak Awani tu "

"Mana boleh semudah tu ?"

"Kenapa tidak boleh ?"

"Sebab Kak Awani tak ada salah"

"Tapi abang tak cintakan dia "

"Ah... abang dah mula sayangkan Kak Wani" Haizat ingin berkata begitu, tapi tertahan di kerongkongnya sahaja.
"Nanti la... abang fikirkan..."

"Abang ni asyik nak fikir fikir..." Ella mula marah marah.

"Kalau abang sayangkan Ella, abang ceraikan isteri abang "
"Kalau tak, abang jangan jumpa Ella lagi..." Ella bangun dari kerusi dan terus berlalu.

Panggilan Haizat tidak diendahkan Ella. Haizat merengus dan marah. Meja menjadi mangsa tumbukkan Haizat. Pandangan pelajar keliling yang terkejut tidak dipedulikan.

Setelah membayar harga makanan, Haizat terus keluar dan balik ke hotel. Masih dalam keadaan marah.
Posted by Picasa

Sunday, July 12, 2009

Lama Haizat mendiamkan diri.

"Kenapa dengan abang ni ?"
"Lama abang tak call Ella. Abang pun dah tak datang jumpa Ella"
"Ella rindu tau..."

Suara gemersik Nor Azila membuatkan Haizat rasa tergugat.

"Ella, maaf la.... abang sibuk..."

"Mana janji abang ? Abang janji nak call Ella tiap hari"
"Abang janji nak jumpa Ella selalu"

"Hmmm... ok la... nanti hujung minggu ni abang jumpa Ella..."

Haizat memberi kata janji setelah tidak mampu memberi alasan.

Selepas meletakkan telefon, Haizat termenung. Bagaimana nak membuat alasan ? Bagaimana nak ditinggalkan Awani ?

Kasih baru saja terjalin. Tidak tergamak untuk Haizat melukakan hati Awani. Tapi, Haizat juga tidak mampu melukakan hati Nur Azila.

Haizat berkira-kira untuk ke KL. Ada tugas yang perlu diselesaikan kawannya di sana. Haizat meminta kawannya menukar tugasan mereka. Dengan senang hati kawan baiknya, Yusof, memberi lampu hijau.

"Awani, esok abang ke KL"

"Berapa lama ?"

"Ahad abang balik la..."

"Oooo... saya nak siapkan baju berapa pasang ?"

"Ambil saja baju kemeja 2 pasang dan sepasang baju melayu"

"Wah... macam nak pegi kawin la abang ni"

"Apa salahnya kalau abang kawin ?"

"Tak salah... kalau abang nak kawin, abang beritahulah saya, jangan buat diam diam."

Haizat tersenyum. Tidak mengerti samada Awani memang maksudkan perkara itu atau hanya bergurau. Kekadang Haizat tidak mengerti, adakah benar Awani cintakannya ? Jika cinta, kenapa Awani seperti tidak cemburu ?

"Kalau abang kawin lagi satu, Awani tak marah ?"

"Abang nak kawin, beritahu saya..."

"Awani tak marah ?"

"Itu hak abang... marah atau tidak, perasaan saya tidak penting !"

Awani berkata dengan senyuman di bibir tetapi tegas.

"Apa yang telah abang beri pada saya selama ini telah memadai. Saya ucapkan terima kasih kerana menyayangi saya dan mengahwini saya."

"Kenapa Awani cakap macam ni ?"

"Saya mahu abang tahu yang saya sayangkan abang"

"Abang juga sayangkan Awani"

"Jika benar, buktikan..."

Haizat terkelu... bagaikan tersindir atau sememangnya Awani tahu ?

Saat Haizat ingin berangkat ke KL, Awani memeluk erat seakan tak mahu melepaskan Haizat. Awani kemudiannya mencium tangan Haizat dengan lembut dan memegang lama tangan Haizat.

Haizat memerhati gelagat Awani dengan penuh tanda tanya. Ada air mata hampir bergenang di mata Awani.

"Kenapa ni ? Kan abang pegi sekejap saja ?"

"Saya tahu.... saya cuma mahu abang ingat, abang ada isteri yang menanti di rumah ini"

"Ok lah... abang pergi dulu..." Haizat merangkul dan mencium dahi Awani.

Melihat air mata Awani menitis perlahan, rasa bersalah Haizat membuak buak. Tapi Haizat tetap berlalu pergi.

Awani melihat Haizat melambaikan tangan.

Awani teringatkan panggilan pada suatu petang, dari Ella mengenai hubungan mereka dan Ella memaklumkan yang Haizat akan bertemunya minggu itu. Pada fikiran Awani, Ella hanya berbohong, tetapi bila mendapat tahu yang Haizat ke KL minggu itu, Awani tahu, yang Haizat belum benar benar memutuskan hubungan dengan Ella dan belum lagi menyayangi Awani sepenuh hati.

Dan kerana itu juga, air mata Awani mengalir lebih laju....








Posted by Picasa


Mendung dua tiga hari di Utara ini membuatkan Awani dan Haizat berkurung tidak ke mana mana. Mata yang redup semakin redup melihat keluar dan mendengar titisan hujan. Penghabisnya mereka hanya melingkar di depan TV sambil makan cucur udang yang dimasak Awani.

"Abang, ubat tu dah nak abis"

"Dah tu ?"

"Jom la kita pi kedai cina tu lagi?"

"Hujan hujan macam ni ?"

"Tak la... esok esok la kita pegi."

"Ok la... "

Petang itu hujan semakin reda. Hanya tinggal gerimis. Awani terus mengajak Haizat keluar. Haizat tidak menolak kerana dia pun telah bosan asyik menonton TV.

"Ok... dah semakin ok."
"Keputihan dah tak ada kan ?". Awani hanya mengangguk.

"Kita tukar ubat. Nah ambil ubat kat depan sana..."

Setelah kertas kuning bertukar tangan, Awani terus ke kaunter depan bersama dengan Haizat.

Haizat membayar harga ubat dan berlalu.

"Jom kita ronda ronda"

"Jom"

Haizat membawa Awani berjalan jalan sekitar Alor Star. Selalu kompleks beli belah yang mereka tuju.

Mata Awani memerhati gelagat orang dalam kompleks itu. Sambil memegang erat lengan Haizat, Awani mengikuti langkah Haizat. Haizat masuk ke kedai kasut. Membelek sepasang kasut untuk jogging.

"Kan kasut abang masih baru ?"

"Kasut tu buat kaki abang melecet"
"Ingat nak ambil yang mahal ni satu..."

Awani mengangguk angguk kepalanya sahaja melihat tanda harga kasut itu. Boleh beli baju kurung Awani 6 pasang.

"Abang... saya nak tengok kedai depan tu..."

"Ok"

Awani membelek belek kasut perempuan. Melihat kasut tumit tinggi. Sukar mencari yang memenuhi citarasa Awani. Awani serasi dengan satu satu jenis kasut sahaja. Jika ada yang berkenan, dia akan memakai kasut itu sampai lusuh atau sampai tertanggal tumitnya. Sehinggakan ada teman pejabat yang memerli. Awani tidak peduli.

"Mama... mama... kakak nak bawa beg plastik ni... boleh ?"

"Mama... adik pun nak bawa juga..."

"Boleh sayang... ambil la... kakak bawa beg ni, adik bawa yang ini"

Awani terdengar suara di belakangnya. Awani berpusing. Tanpa sedar, Awani memerhati gelagat seorang perempuan muda dengan dua anak kecil.

Melihat dua anak kecil yang sangat gembira memegang beg plastik barang itu buat hati Awani sangat tersentuh.

Awani memerhati mereka, si ibu dengan beg barang yang banyak sementara anak anaknya hanya seorang satu. Tentu anak-anaknya ingin membantu. Mereka bertiga menuju ke luar komplek. Melihat di pintu kompleks, seorang lelaki dan tentu suami serta ayah budak budak itu sedang menanti dengan dua tiga barang di kakinya.

Mereka bertemu dan anak anak gembira menghulurkan beg plastik untuk ayah mereka pegang pula.

Perempuan muda itu memegang tangan anak anak mereka kiri dan kanan dan suaminya mengambil semua beg plastik, dan mereka menuju ke luar.

"Hah... dah abis beli barang ?"

"Abang ni... terkejut saya tau..."

"Laaaaa... terkejut pulak. Itu la, dok perhati orang sangat, sampaikan suami sendiri kat sebelah pun tak perasan"

"Maaf la... tak perasan" Awani tersenyum.

"Abang, seronokkan mereka tu ?" Awani memuncungkan mulut menujukkan arah pada Haizat. Haizat hanya tersenyum dan memegang tangan Awani.

"Tentu suatu hari nanti, kita pun begitu....". Haizat memegang dagu Awani. Hati Awani tenang bila mendengar bicara Haizat.

"Jomlah kita ke KFC. Lepas tu balik..."

"OK...". Awani beriringan dengan Haizat sambil memegang lengan Haizat. Sedangkan ada mata lain yang asyik memerhati drama mereka pula dan merasakan mereka adalah pasangan bahagia.
Posted by Picasa

"Abang... hari ni abang kerja tak ?"

"Hari ni abang tak kerja... kenapa ?"

"Kita pergi ke Jitra nak ?"

"Buat apa ?"

"Ina, jiran kita tu cerita, dia ada pergi ke satu kedai cina tu, beli ubat, lepas tu dia mengandung kat anak dia yang kecik tu"

"Ala... belum tentu ok untuk kita"

"Tapi, kita usaha la bang... kan Allah suruh kita berusaha..."

"Baik la... bersiaplah... kita pegi sekarang"

"Sayangggggggg abang..." Awani memeluk dan mencium pipi Haizat kemudian terus berlari masuk bilik dan bersiap. Gembira sungguh Awani bila Haizat setuju.

Awani dan Haizat pergi ke kedai singse yang disebut oleh Azlina, jirannya yang baru saja melahirkan anaknya yang kedua. Azlina yang mencadangkan kedai itu. Katanya ubatnya hanya herba campuran akar kayu dari negeri China.

Sesampai saja ke kedai itu, Awani dan Haizat masuk. Bau hapak bercampur dengan bau ubat semerbak dalam kedai itu. Awani melihat seorang pembantu perempuan di kaunter kedai.

"Sa... saya nak beli ubat". Tergagap gagap Awani berkata kata, kerana tidak tahu bagaimana nak menceritakan keadaan diri.

"Ubat apa ?"

"Saya ada masalah untuk dapatkan anak"

"Oooooooo... itu macam ka ??? Masuk masuk bilik, jumpa sama tokey ". Perempuan tua cina itu mengarahkan Awani dan Haizat masuk. Di dalam bilik kecil dan sempit itu, Awani melihat seorang lelaki tua duduk bersandar di kerusi.

"Masuk masuk... duduk duduk..." Sapa ramah lelaki tua itu. Haizat dan Awani lantas duduk di kerusi yang disediakan.

"Mari mari saya periksa..." Bagai seorang doktor, lelaki tua itu berkata. Awani yang telah tahu daripada Azlina bagaimana lelaki tua itu akan memeriksa terus menghulurkan tangan.

Lelaki tua itu memegang pergelangan tangan Awani bagai memeriksa nadi Awani. Lelaki tersebut mengangguk dan mengira ngira. Kemudian dia meminta untuk memeriksa Haizat pula.

Lelaki tua itu kemudian berpaling pada Awani. Lelaki itu menulis nulis pada sekeping kertas kuning.

"Awak ada masalah... awak kena makan ubat... "

"Suami saya ?"

"Tak payah... awak yang ada masalah". Awani melihat wajah Haizat. Haizat hanya tersenyum.

"Okey... " Awani mengangguk anggukkan kepalanya. Lelaki itu menghulurkan kertas kuning.

"Ambil kertas ini dan simpan. Lain kali bawa kertas ini."
"Dapatkan ubat dan makan tiap hari"

Awani meneguk air liurnya. Bagaimana dia harus telan ubat akar kayu yang tentu pahit ?

Lelaki cina itu terus memanggil perempuan di kaunter dan bercakap dalam bahasa cina yang Awani dan Haizat tidak fahami.

Perempuan tua itu mengambil kertas dari tangan Awani dan mula mengambil akar kayu dari dalam balang yang disusun susun di belakang kaunter.

"Nanti balik, u rebus akar ni. Minum tiap hari segelas pagi dan petang."

"Wah... pahit tak nyonya ?"

"Tak ada lah... rasanya macam teh tak ada gula saja..."
"Ubat ni ambil dari China... susah dapat oooooooo..."

Awani dan Haizat mendengar dan mengangguk kepala.

"Tiap sebulan dua, tokey akan ke China untuk dapatkan akar kayu ni"

"Oooooo..." muncung mulut Awani mendengar kata kata perempuan tua itu.

"Ini ubat, u ambil 2 bungkus. Satu bungkus kena masak satu periuk sampai airnya tinggal segelas. Nanti bila dah habis ubat, datang lagi sini dan kita periksa lagi"

Haizat menghulurkan not RM50 untuk membayar harga ubat yang diberi.

Balik sahaja dari kedai, Awani terus rebus akar kayu itu.

Waktu ingin meminumnya, Awani terpaksa menutup hidung dek kerana baunya yang sungguh meloyakan. Awani memaksa diri untuk menelan air yang kelat dan sedikit berbau tengik. Eeeeee... hampir saja Awani mengeluarkan semula semua isi perutnya.

"Aku perlu buat... aku inginkan anak... aku inginkan anak..."
"Ya Tuhan, kuatkan hatiku..."
"Ya Tuhan... kabulkan permintaan ku ini..."
"Bismillah...."

Haizat hanya tergelak gelak melihat gelagat Awani.

"Abang tak apa la... cuba abang rasa ubat nih... tak sedap... tau tak ?"

"Yer la... kan Awani yang nak sangat beli ubat tu ?"

"Tak apa la bang... saya harap....", Awani tidak jadi meneruskan ayat itu bila Haizat menutup mulut Awani. Haizat memeluk pinggang Awani dan menariknya ke ruang tamu. Haizat tidak suka bila Awani memulakan ayat ayat sedih.

"Kalau Awani tak boleh minum ubat tu, tak usah minum"

"Tak... saya akan minum juga... Insya-Allah, saya akan teruskan..." Semangat kata kata Awani.

"Caiyok caiyok..." Haizat mengangkat tangan memberi galakkan bagaikan cerita korea alih bahasa yang selalu Awani tonton.

"Hahahaha... " Awani tergelak.
Posted by Picasa

Thursday, July 09, 2009

"Macam mana dengan Aida ? Ok ker ?"

"Saya ok jer...", adik ipar Awani menjawab acuh tidak acuh.

"Kandungan ok ?"

"Ha'ah... "

"Macam mana dengan Zul"

"Dia macam tu la..." Jawabannya masih begitu begitu... tiada nada ceria.

Awani cuba menerima dan menganalisa dalam kepalanya. Itu mungkin kerenah orang mengandung. Itu mungkin biasa. Saat Awani terasa kerdil kerana tidak lengkap sebagai insan bergelar 'WANITA', ayat yang cuba digunakan untuk menyejukkan hatinya itu sangat mengguris hati.

"Alang... Achik dah tanya Aida. Dia marah marah. Dia kata Alang nak ambil kesempatan. Dia kata Alang hanya ambil berat halnya kerana nak anak tu"

Bila Awani mendengar kata kata adiknya, Awani terus terdiam. Dia diam dan tidak pernah lagi meminta daripada adiknya. Dia juga diam dan tidak pernah lagi bertanya khabar tentang adik iparnya. Awani terus mendiamkan diri agar tiada kata yang akan mengguriskan hatinya lagi...

Dan bila melihat setompok darah pada seluar dalamnya waktu Awani ke bilik air petang itu, Awani terus menangis dan menangis. Biarpun dia tidak mahu menaruh harapan, tetapi hatinya tetap sedih. Tiada pelukan dari suami tercinta waktu dia perlukan. Tiada kata kata semangat... Awani hanya menangis dan terlelap maghrib itu sambil menanti Haizat pulang.

Sedih kerana terpaksa menanti dan terus menanti lagi.

Tidak sedikitpun Awani berkongsi deritanya dengan Haizat. Awani tidak tahu bagaimana Haizat mengharungi kata kata teman. Bila Awani cuba meminta untuk berusaha berubat di mana mana kampung dan bidan, Haizat tidak mahu. Alasan Haizat, dia tidak terdesak untuk punya anak.

Dan... Awani terpaksa menanti sendirian.... Adakah Haizat terlalu dingin, atau mungkin Haizat tidak mahu melukakan hati Awani ?
Posted by Picasa

Awani gembira kebelakangan ini. Layanan Haizat padanya bagaikan mereka baru berkahwin. Setiap hari Awani mohon pada Allah agar kebahagiaan ini berkekalan.

Biarpun layanan Haizat pada keluarganya masih dingin, tetapi, Awani telah cukup berterima kasih. Sekurang kurangnya Haizat telah mengambil berat hal dirinya. Sekurang kurangnya, kata kata Haizat lebih lembut berbanding sebelumnya.

"Hai... senyum jer Awani..."

"Hai kak... apasal kak Lin datang ni ? Ada apa perlu dibincangkan ke ?"

"Tak ada la... cuma suka tengok muka Awani sekarang, makin cantik dan manis saja."

"Kenapa ? Dulu tak cantik ke ?" sambil gelak Awani bertanya.

"Tak ada la... dulu pun cantik... sekarang makin cantik... senyum sentiasa..."

"Saya bahagia... tentu saya senyum... lagipun senyuman tu kan satu sedekah "

"Yer la... Eh.. Awani, akak dengar si Ju tu dah mengandung..."

"Yer ke ?". Berdebar jantung Awani saat mendengar berita itu.

"Yer... kesian dia... lama betul dia kawin, baru jer mengandung tu"

"Hmmm... " Awani cuba memaniskan mukanya dan cuba untuk ceria mendengar khabar gembira teman sepejabat, riak gelora di hatinya cuba ditenangkan sebaik mungkin.

"Umur dia dah dekat 40, baru dapat anak pertama"

"Hmmmm..." Awani tidak berkata apa apa. Hanya membalas kata dengan senyuman yang paling manis boleh dicipta diwajahnya.

"Ok la Awani... akak nak pi makan, Awani nak join sekali tak ?"

"Tak apa la kak Lin, saya masih kenyang". Selera Awani terus tertutup mendengar berita itu. Hati Awani terus berkata kata. Kenapa orang lain mengandung ? Kenapa tidak Awani ? Kenapa berita itu perlu sampai ke telinganya ? Kenapa perlu rosakkan hari gembira Awani ?

Seminggu Awani cuba hilangkan khabar gembira itu dari bergema dalam kotak fikirannya. Seminggu juga Awani mencari cara supaya dapat menerima hakikat yang dia pun patut gembira menerima berita temannya mengandung.

Dan... sewaktu dia hampir menerima kenyataan itu, ada khabar lain yang lebih menyakitkan hatinya.

"Alang, tadi adik bergaduh lagi dengan isteri dia"

"Kenapa ?"

"Ala... biasa la.. kalau isteri dia mengandung jer, mesti dia buat perangai"

"Laa... kesian..."

"Itu la... tadi tengok Aida makan nenas, katanya nak bagi gugur"

"Ya Allah... kenapa buat macam tu ? Kalau tak mau, bagi jer pada Alang"

"Entah la... "

"Cuba la cakap dengan dia... kalau diorang tak mau, bagi jer pada Alang". Adik Awani meletak telefon setelah berjanji untuk cuba bercakap dengan Aida.

Itu anak adik bungsunya yang ke tiga. Anak pertama, bunting pelamin. Mereka merancang, tetapi tetap terlekat juga. Berbagai cara selama ini isteri adiknya buat jika periodnya lewat. Makan nenas, minum air bergas dan lain lain petua.

Betapa mudahnya mereka dapat anak. Betapa mereka tidak bersyukur dengan kurniaan Tuhan. Kenapa Tuhan buat begitu ? Kenapa tidak biarkan saja dia mengandung anak itu ? Kenapa ?

Berulang ulang soalan itu dalam fikiran Awani...

Awani menggosok perutnya. Periodnya lewat bulan ini. Awani tidak mahu berharap, tetapi tetap angankan perutnya berisi. Selalu mimpikan perutnya membesar. Selalu termimpi dia bersalin dan punya anak yang comel sangat. Bila tersedar dari mimpi dan menyedari kebahagiaan itu hanya dalam tidor sahaja, Awani sebolehnya tidor semula untuk menyambung mimpi itu.

Dan seperti selalunya, mimpi itu tidak pernah bersambung....





Posted by Picasa

Monday, July 06, 2009

'Abang... apa kata kita ambil saja anak angkat ?'

'Hmmm... kenapa cakap macam tu ?'

'Saya sunyi... saya ingin menyayangi anak kecil'

'Mana ada orang nak beri pada kita ?'

'Kita cari lah anak orang miskin miskin atau anak yang terbiar'

'Susah... anak yang tak tentu ibu bapanya... Nanti masa depan mereka jadi tak ok, kita salah.'

'Kita ambil anak orang miskin'

'Nanti bila mereka rasa sayang, mereka nak semula anak mereka, macam mana ?'

'Hmmmm....'

Awani terdiam bila bersoal jawab dengan suaminya. Tapi perasaan ingin menyayangi si kecil begitu mendesak desak dalam dirinya. Terasa kasih sayang yang melimpah ruah dalam dadanya perlu dicurahkan pada seseorang. Terasa ingin saja Awani memeluk sikecil yang dirindui siang dan malam.

Lantas, tanpa peduli kata kata Haizat, Awani tetap mencari cari peluang untuk mendapatkan anak angkat. Awani menalifon ke jabatan kebajikan masyarakat dan juga memberitahu keluarga tentang keinginannya.

Ibu Awani bersetuju untuk mencari jika ada baby yang sesuai. Awani menanti... Awani berharap dengan kehadiran sikecil itu, biarpun bukan darah daging sendiri, akan menyerikan lagi rumah tangga mereka.

Saat Kak Ngah menyuarakan hasrat ingin memberikan anaknya pada Awani, tiada kata yang dapat Awani ucapkan. Kak Ngah simpati pada Awani. Kak Ngah pernah hadapi situasi dikatakan 'mandul' sangat faham perasaan Awani. Sekarang, Kak Ngah menanti anak ke 7nya. Awani berharap agar Kak Ngah dapat mengotakan janjinya. Tapi, Awani juga bersiap sedia jika Kak Ngah tidak mengotakan janjinya.

Anak bukan barangan... tentu bukan semudah memberikan kain baju atau barangan apa saja pada orang. Anak adalah anugerah terindah, tentu saja tidak semudah memberi kata janji... dan jika Kak Ngah tidak mengotakan janji, Awani tidak menyalahkan Kak Ngah...

"Bila Kak Ngah dapat anak nanti, Awani ambil la... jaga seperti anak sendiri"

"Yer la Kak Ngah... Kak Ngah jangan risau... saya ingin menyayangi dan rasa disayangi"

Itu pesan Kak Ngah pada Awani....

Awani menanti penuh debar saat saat Kak Ngah ingin bersalin. Waktu waktu terakhir Kak Ngah menanti kelahiran, Awani berlagak biasa seakan tidak berharap. Sedangkan dalam hatinya, hanya Tuhan yang tahu.

"Awani... anak anak Kak Ngah pesan, kalau anak yang lahir ni perempuan, mereka ingin jaga"
"Kalau anak lelaki, Awani ambil la..."

"Hmmmm... tak apa la kak...."

"Tapi Kak Ngah dah scan, katanya anak lelaki"

Jika ada bersyarat begini, Awani terus pendamkan gelora hati. Perlahan lahan Awani menarik diri dan belajar menerima takdir yang anak itu tidak mungkin menjadi milik Awani.

Peratusan untuk memberi anak ini terlalu rendah... dan Awani terus menyepi waktu Kak Ani mengkhabarkan kelahiran anaknya itu. Dan bila dimaklumkan anaknya yang lahir itu perempuan, Awani terus diam... dan terus diam...

Awani terus mencari anak lain yang bakal mengisi ruang kosong dalam diri dan rumah tangganya...

Sukar betul mencari... apa lagi menanti...

Dan, Awani terus menanti agar suatu hari nanti ada tangisan si kecil di rumah mereka yang sepi ini...
Posted by Picasa

;;