Sunday, December 13, 2009

Menanti Pasti... 38

Telah beberapa bulan masa berlalu, Awani telah sembuh sepenuhnya dari luka kesan pembedahan. Parut diperutnya telah sembuh... cuma jika disentuh, rasa kebas belum hilang. Tiada rasa disitu. Seperti parut yang tidak hilang itu, begitu juga dengan perasaan Awani. Awani masih bersedih atas kehilangan.

Nak dikatakan hilang, mereka tidak pernah memiliki. Nak dikatakan tidak hilang, perasaan sayang itu telah wujud. Sukar untuk Awani menjelaskan. Kepada mereka yang telah punya anak dan pernah keguguran, bagi mereka, kehilangan itu tiada makna. Yer... apalah yang ada pada seketul daging yang belum berupa ?

Tapi bagi Awani, keketul daging, ataupun denyutan yang pernah dilihatnya dalam skrin waktu discan tempoh hari adalah kebahagiaan. Sekarang, kebahagiaan itu diregut. Kenapa Tuhan mengujinya begitu ?

KENAPA ????

Berkali Awani bertanya pada dirinya dan pada Tuhan ditikar sembahyang. Tiada jawapan. Akhirnya Awani cuba menerima Takdir. Jika itu yang ditakdirkan, Alhamdullilah, dia telah sempat merasa perasaan bila tahu dirinya mengandung. Perasaan yang bahagia sangat. Dia pernah rasa bagaimana perasaan menyayangi sesuatu yang belum dapat disentuh. Biarpun tidak mampu merasa bagaimana getar waktu kandungan bergerak dan belum rasa bagaimana sukarnya bersalin, sekurangnya Awani tahu, dia mampu mengandung.

Sekarang, sebelah Fallopian tubes telah dibuang. Kata doktor, pendarahan yang teruk memaksa mereka membuang terus salur itu. Banyak darah yang keluar, dan Awani terpaksa dimasukkan darah dari penderma lain.

Awani harap, tiada darah yang tercemar. Takut benar Awani bila membaca berita tentang kecuaian hospital yang memasukkan darah tercemar pada penerima darah.

Bila menyentuh parut di perutnya, hati Awani tetap merintih. Rasa ingin menjerit.

Dengan 2 belah tiub pun Awani sukar mengandung, logiknya tentu satu tiub lebih sukar lagi. Itu yang tertulis dalam artikal artikal dalam surat khabar dan dalam internet yang dibaca.

Tekanan demi tekanan yang Awani terima.

"Kesian kat awak... tentu awak salah makan kot ?"

"Awak buat kerja berat ke ?"

Sukar betul Awani nak menjelaskan pada mereka yang tidak mengerti.

Awani lebih suka mengurung diri. Cuba kurangkan pergaulan. Cuba kurangkan perbincangan semasa.

Biarlah orang kata Awani sombong. Biarlah orang kata Awani bagai suka menyendiri.

Awani lebih suka mengadap komputer. Awani lebih suka bercakap dengan kod kod program dan bercakap dengan kenalan dalam internet.

Mereka tidak kenal siapa Awani. Dalam internet, Awani orang yang ceria. Dalam internet, Awani orang yang berbeza yang tidak siapa tahu apa yang Awani tanggung.

Suami Awani ? Haizat kembali kepada sikap asal. Itu yang lebih menyedihkan Awani.

Awani terpaksa bergantung pada diri sendiri untuk kuat. Awani tiada dahan untuk berpaut untuk mendapatkan sokongan.

Sekarang, Awani sendiri tidak pasti apa yang paling menyedihkan dirinya, adakah sikap suaminya atau kesepian yang belum terisi ?

Jika boleh diberi pilihan, Awani ingin saja lari dari semua ini. Ingin lari dari Haizat. Ingin lari dari semua yang mengenali. Ingin pergi ke suatu tempat di mana dia tidak perlu bercerita tentang dirinya, tentang kenapa dia tidak punya anak, tentang ke mana suaminya pergi pada setiap hujung minggu.

Tempat itu hanya wujud dalam INTERNET....

Lalu, Awani mencipta satu watak.

Gadis Melayu, usia... pertengahan 20an, masih bujang... ceria...

Awani berkawan dengan ramai orang. Awani cuba mencari kebahagiaan di situ.

Kehadiran atau tidak Haizat disisi, Awani cuba untuk tidak mengendahkan. Biarlah. Jika Haizat bahagia dengan caranya, Awani cuba untuk mencari bahagia sendiri.

Segala cerca dan maki hamun Haizat, kini Awani pekakkan telinga. Hatinya telah beku. Jika Haizat balik ke sisi, Awani melayan sebaik mungkin. Jika Haizat sengaja mencari kesalahannya, Awani telah mula melawan. Awani telah mula redha, jika yang berlaku adalah yang terburuk.

Awani cuba mencari aktiviti lain daripada memikirkan mengenai suami sendiri. Awani mula mencuba untuk mendapatkan lagi anak angkat. Kepada anak itu akan dicurahkan segala kasih sayang. Kasih yang melimpah ruah dalam dirinya, tiada tempat lagi untuk disalurkan. Biarlah anak kecil yang tidak punya dosa Awani luahkan kasih sayang. Biarlah jika Haizat ingin meninggalkannya. Biarlah jika dunia tidak menyebelahinya. Awani ingin punya anak kecil untuk disayangi.

Awani ingin membelai anak yang comel. Anak yang polos tidak berdosa.

2 Comments:

  1. Irfa said...
    lama blog ni tak diapdet.
    mgkin tuan rumah sibuk...
    izawani said...
    Tak sibuk sangat... tapi... dok berkira kira utk belajar bersastera dengan lebih giat lagi... ekekeke...

    Tak ada lah.. dok baca buku novel sebenarnya...

Post a Comment